Sunday, 20 October 2013

Pelajar SPS menyerlah di Malam Konsert Vokal dan Koir 2013

Konsert Vokal dan Koir 2013 yang telah berlangsung pada 08 Oktober lalu jelas menunjukkan bahawa siswa dan siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) khususnya dari program Seni Muzik mempunyai bakat yang sangat luar biasa. Konsert ini merupakan kemuncak bagi Bengkel Koir yang telah diadakan dari 07 Oktober hingga 08 Oktober 2013. Konsert ini telah diadakan atau dikendalikan sepenuhnya oleh Sekolah Pengajian Seni( SPS) UMS.
          Apa yang menarik tentang konsert ini adalah konsert ini telah berjaya menggabungkan SPS khususnya siswa dan siswi Seni Muzik UMS untuk membuat persembahan koir bersama sekolah-sekolah dan kumpulan lain. Antaranya adalah SM. St Francis Convent, SM Tshing Tshin Alumni, Maktab Sabah, Sunshine Choir, Pure Harmony dan In Unity Choir. Ternyata malam konsert itu sangat meriah dan sangat menarik.
          Malam konsert itu telah dimulakan dengan ucapan perasmian dari Dekan Sekolah Pengajian Seni, Prof. Madya Abdul Jamal Abdul Hamid dan diteruskan dengan persembahan koir yang memukau lagi menakjubkan. Persembahan yang telah mencuri perhatian adalah dari Rowell Pagi yang merupakan pelajar Tahun 1 Seni Muzik. Beliau telah menyanyikan lagu Exsultate Jubilate, Tounjours dan Derita. Persembahan beliau sangat energetik dan memukau para pendengar di dewan itu.
          Kemunculan penyanyi yang juga bekas pelajar Seni Muzik UMS, Avelyn Chua juga memukau para hadirin dengan persembahan solonya melalui lagu Die Zauber yang pernah dipopularkan oleh W.A Mozart. Selain itu, gandingan Avelyn bersama Natalia Charles juga turut menjadi perhatian orang ramai apabila mereka menyanyikan lagu Holy City. Manakala pelajar Seni Muzik yang lain iaitu Vocal Ensemble of Sekolah Pengajian Seni juga tidak dapat dinafikan kehebatannya apabila mereka menyanyikan lagu Beauty and The Beast dengan penuh harmoni dan merdu didengar.
          Jelaslah bahawa pelajar seni UMS ini sangat berbakat dan pada malam konsert itu segala-galanya telah terserlah. Oleh itu, mereka hendaklah selalu diberi pendedahan seperti ini agar bakat mereka tidak tersia-sia dan Sekolah Pengajian Seni UMS wajarlah mengadakan banyak lagi event  seperti ini.


Oleh : Aiyub MS

         
                                                    
 Sumber : www.ums.edu.com.my

No comments:

Post a Comment