Tajuk cerpen : Hanya aku yang tahu
Hujan pagi itu membunyikan segala
zink bumbung rumah yang berdesing berirama seperti menandakan tiada tanda mahu
hentinya. Suasana pagi yang dingin menambahkan lagi kerisauan di dalam hatiku.
Bagai baru semalam peristiwa itu berlaku di depan mataku. Aduh ! Apakah ini
tiada noktahnya, sangat sakit dan rasa terbuku di hati ini ? Andainya aku tidak
mampu untuk memapah tubuhku yang hampir dimamah umur ini masih ada lagikah
untuk aku memperbaiki nasib kehidupanku. Air hujan yang mencurah bertitik-titik
telah memenuhi mangkuk-mangkuknya. Dapur yang uzur menyebabkan bumbung rumah
bocor dan memaksa lantai rumah perlu dialasi dengan bekas-bekas agar tidak
dilimpahi air hujan yang turun. Kuih-muih yang diadun dan digoreng rapi perlu
disiapkan segera untuk dijual di warung kecil depan rumah. Kuih-muih dialas
dengan daun pisang menambahkan keharuman santapan sarapan penduduk kampung yang
datang membeli sajian sarapan waktu pagi. Kehebatan air tangan kuih buatan Mak
Bibah sangat terkenal oleh penduduk kampung.Rasa adunan doh yang dipukul dengan
tangannya pasti menjadi buah mulut orang kampung akan kelazatannya. Jadi tidak
hairanlah jika kuih yang dijual oleh Mak Bibah mendapat sambutan dinanti-nanti
oleh orang kampung yang datang ke warungnya.
“Mak Bibah, oh Mak Bibah. Dah
habiskah kuih jualan Mak Bibah ? Ataukah aku yang lewat turun ke kerja hari ini
?” Sapa Leman separuh menjerit yang lalu di depan warung Mak Bibah.
“Dah habis Man. Kenapa engkau turun
lewat hari ini ? Pagi benar lagi dah selesai jualan aku ni. Syukur Alhamdulillah
rezeki dariNya.”
“Sampai hati Mak Bibah tak tinggalkan
aku sedikit pun. Habis aku nak sarapan apalah lepas ni ? Tekak aku ni dah biasa
rasa kuih buatan Mak Bibah yang lazat tu.” Puji Leman berbaur kecewa.
Mak Bibah senyum-senyum dengan pujian
ikhlas Leman tadi. Mak Bibah tahu kalau dia tak membuat kuih dengan enak
mungkin pelagannya pasti akan lari. Dan dengan pendapatan menjual kuih jugalah
dia menyara kehidupannya anak-beranak. Walaupun Mak Bibah seorang yang miskin
namun dia tidak pernah mengharapkan belas kasihan daripada orang kampung. Dia
tidak pernah mendapat pertolongan orang dengan percuma melainkan ada perkerjaan
yang harus dilakukannya untuk mendapatkan upah. Kerajinan Mak Bibah yang cukup
terkenal dikalangan masyarakat kampung tidak dapat disangkal lagi kerana selain
pandai membuat kuih, dia juga merupakan seorang jaguh kampung dalam
masak-memasak gulai kawah di majlis kenduri-kendara. Pokoknya sekiranya ada majlis kahwin pasti bayang Mak Bibah akan terpacak di belakang rumah dengan riuh-rendah
suara penduduk kampung yang gemar bergurau dengan Mak Bibah. Keramahan diri Mak
Bibah menyebabkan penduduk kampung selesa untuk memanggilnya untuk mendapatkan
bantuan dalam masak-memasak. Garam dan
gula semuanya sudah sebati dalam tangan Mak Bibah. Semua jenis masakan kampung
pasti berasa apabila Mak Bibah turun padang. Kemiskinan Mak Bibah sekeluarga
bukan menjadi penghalang untuknya mencari nafkah yang memerlukan kudrat yang
lebih. Kadang-kadang Mak Bibah tidak akan tidur apabila seringkali mendapat
jemputan untuk membantu dalam hal kenduri-kendara. Mak Bibah rela mengharungi
penat lelah demi menharapkan sesuap nasi hasil upah atas kerelaan orang yang
memberi. Tangan yang penuh dengan urat-urat menandakan Mak Bibah seorang yang
kuat bekerja dari zaman bujangnya. Ramai kawan-kawan sezaman dengannya kini
lebih berkehidupan mewah berbanding dirinya. Suami yang diharap dapat
meringankan beban hidup keluarga hanya tinggal harapan kerana suaminya telah
ditangkap semenjak 10 tahun yang lalu
dan tidak diketahui bila akan tamatnya hukuman setelah dia didakwa mengedarkan penjualan syahbu di
daerah mereka. Sejak dari peristiwa itu Mak Bibah telah jemu mendengar cercahan
dan cemuhan orang kampung kerana suka membabi-buta menuduh yang bukan-bukan.
Telinga Mak Bibah terpaksa ditulikan walaupun pedas namun, ditelan jua.
“Mak Bibah, betulkah laki kau yang
buat benda kotor tu ? Sapa Mak Lijah yang sangat terkenal dengan kepohnya dan
sigup di celah bibirnya.
“Entahlah Lijah, aku cuma bertawakal
saja dan berdoa saja. Mungkin ini sudah nasib aku. Aku siapalah juga hanya
perempuan yang tak punya sekolah tinggi macam orang lain.” Rintih Mak Bibah
sayu.
“Kau ni Bibah. Kalau tak kerana angin
manakan pohon boleh bergoyang. Ni hah ! Ramai budak-budak kampung ni kata laki
kau memang suap semua barang-barang kotor tu. Esh ! Tak berkat tau bila kita
bagi makan dengan anak bini kita duit yang tak halal.” Sindir Mak Lijah serba
ustazah yang memberi tazkirah.
Siapa juga tak kenal dengan Mak Lijah
di Kampung Pisang-Pisang. Perempuan yang menjadi wartawan tak diiktiraf kampung dari hulu ke hilir dengan menjajah
kecantikan barang kemas yang penuh disadur di tangan. Mak Bibah hanya mampu
tersenyum melayan karenah Mak Lijah Kepoh itu. Makin dilayan makin menjadi. Mak
Bibah sudah lali dengan kata-kata itu semua. Kini, semuanya biarlah berlalu dan
terus berlalu. Mak Bibah telah tawar hati akan suaminya yang dianggap dapat
merubahnya. Tiadalah guna menanti lagi sehingga dia terpaksa menuntut fasakh.
Hanya itu saja jalan terbaik Mak Bibah untuk tidak terus menunggu. Tiadalah
guna mempunyai suami sekiranya penantian demi penantian hanya berlabuh dengan
harapan yang sia-sia. Nasib malang itu hanya menjadi rintihan yang sedih di
hati Mak Bibah. Ada orang kampung yang bersimpati dengan Mak Bibah, namun ada
juga yang membenci dan iri hati dengan Mak Bibah. Pernah juga Mak Bibah
mendengar bisik-bisik dari mulut Mak Lijah yang mengatakan Mak Bibah membela
hantu raya untuk pelaris penjualan kuih-muihnya. Hal itu menjadi tamparan yang
hebat dalam hidupnya. Mak Bibah hanya mampu bertafakur di atas sejadah usang
berdoa agar segala fitnah itu tidak menjadi hal yang serius. Isu itu tidak
terhenti di situ saja, apabila penjualan kuihnya kian merosot dan menyebabkan
pendapatan keluarganya kini hanya bergantung hasil bantuan ehsan kepada ibu-ibu
tunggal dari kerajaan RM200 sebulan. Kesedihan Mak Bibah membuak-buak di dalam
dada sehingga uban-uban yang bersirat di ubun-ubunnya bertambah banyak.
Garis-garis usia yang meyirati air wajahnya itu menampakkan lagi dirinya yang
tampak lebih berusia daripada batas umurnya yang sebenar. Nasib Mak Bibah lebih
bertambah rumit apabila anak perempuannya Rosnah berkahwin dengan lelaki yang
malas bekerja. Anak yang diharap mampu
merubah keadaan itu hanya tinggal harapan apabila Mak BiBah sendiri terpaksa
membelikan susu untuk cucu-cucunya. Naik kering mulut Mak Bibah menasihati Budin menantu lelakinya itu tapi semuanya
ibarat mencurah air ke daun keladi saja. Berbagai alasan dicipta dan berbagai
ungkapan diputar-belitkan.
“Oh tuhan, aku berserah hanya
kepadamu. Jika benar ini adalah jalan yang terbaik keatas walang ku ini aku
redha. Namun, aku memohon hanya kepadamu kau berilah aku kudrat ke atas kedua
tangan ku ini mengalas segala amanah ini. Dan jika aku pergi menutup mata kelak
kau peliharalah keluargaku dari perkara yang sia-sia. Sejadah yang usang dan
lusuh itu dilipat seelok-eloknya di tepi dinding rumah berserta kain
telekungnya. Hujan masih tetap turun dan mencurah-curah. Langit yang kehitaman
pada dada angkasaraya belum puas untuk memuntahkan segala kandungan yang
membasahi seluruh pelusuk kampung. Mak Bibah masih juga meneruskan penjualan
kuih-muihnya walaupun pendapatannya tidak seperti dulu. Biasanya baki kuih yang
tidak habis dijual akan disedekahkan kepada ahli jemaah surau yang sering
mengadakan kelas fardhu ain di kampung pisang-pisang tersebut. Kelas fardhu ain
biasanya diadakan pada pukul 8 pagi sehingga 10 pagi yang diketuai oleh Pak
Seman seorang Imam kampung dan dibantu oleh isterinya. Keluarga Pak Seman dan
isterinya sering membantu Mak Bibah walaupun mereka tahu segelintir orang
kampung menabur fitnah terhadap hasil
penjualan Mak Bibah.
“Mak, anak Ros dah kehabisan susu ni.
Jadi nak buat macam mana ni ?”
“Mintalah tolong dengan laki kau Ros.
Mak dah tak ada apa lagi. Nak harap duit dari penjualan kuih tu berapalah
sangat. Nasihatlah laki engkau tu. Suruh cari kerja. Jangan asyik duduk rumah
saja.” Tegur Mak Bibah kepada Rosnah.
“Ala, Mak ni kan suka cakap yang
bukan-bukan. Kan Abang Budin tu tak boleh kerja berat. Jadi nak nasihat apa
lagi. Tambah-tambah sekarang susah nak cari kerja Mak.” Sampuk Rosnah sambil memenangkan suaminya yang
pemalas itu.
“Mak dah naik letih cakap dengan kamu
berdua ni. Sedikit pun tak mau berubah. Kalau Mak tak ada besok siapa lagi nak
tanggung kamu anak beranak ? Aku sudah tua Ros, aku tak mau tengok kamu
merempat hanya mengharapkan belas kaishan orang lain. Mak mau anak-anak Mak
dapat menjaga Mak. Bukan Mak yang menjaga kamu bila kau dah kahwin dengan Budin
tu. Apalah nasib aku, dapat anak perempuan pun ikut jejak lakinya berat tulang.
Itulah Mak dah pesan jangan kejar-kejar lelaki. Sekarang tengok apa jadi ?”
Keluhan demi keluhan termuntah dari bibir Mak Bibah.
Rosnah hanya membalas teguran emaknya
dengan mencebik mulut ke depan sambil melangkah ke luar rumah. Sikap Rosnah
yang terlalu memanjakan suaminya memaksa Mak Bibah hanya tinggal di rumahnya
ibarat orang asing. Ibarat kata semua hal yang berkaitan dalam rumah menjadi
beban yang harus dipikul oleh Mak Bibah.
Suatu petang sedang Mak Bibah sibuk
membersihkan semak dibelakang rumahnya. Mak Lijah datang mengkhabarkan bahawa
anak menantunya pula ditangkap oleh polis kerana didapati cuba merompak sebuah
rumah di kampung Seberang. Naik gugur jantung Mak Bibah mendengar berita itu.
Rosnah yang datang bersama anaknya dibelakang rumah menangis teresak-esak
meratap nasib suaminya yang dipenjarakan.
Berita itu menjadi isu yang sangat hangat bak cendawan tumbuh. Orang
kampung mula menyakat hal yang tidak sepatutnya. Dan tidak kurang juga yang
menyalahkan Mak Bibah kerana terlalu memanjakan anak menantunya itu.
“Hai, dulu lakinya, sekarang
menantunya pula. Tak habis-habis keluarga Mak Bibah ni buat onar dalam kampung
kita ni.”Sambung suara sumbang orang
kampung yang sudah termakan buah mulut Mak Lijah.
“Itulah kesan kalau kita bagi rezeki
yang tak halal kepada isi rumah. Hantu raya yang dibela oleh Mak Bibah tu kan
dijaga oleh Budin. Ada baiknya juga kalau Budin tu ditangkap menyusahkan anak
bini buat apa ? Dah la malas bekerja, ada hati pulak nak kahwin dengan Rosnah.
Rosnah tu pun gatal nak belaki.” Tambah Mak Lijah mencanang seluruh kampung.
Mak Bibah tidak berganjak dari
tempatnya berdiri. Dia hanya memerhati anaknya Rosnah menangisi nasib suaminya
yang dikhabarkan itu. Mak Bibah perlahan-lahan bergerak dan mencapai tudungnya
yang berjemur di ampaian. Tanpa berkata-kata apa dia melangkah dengan wajah
yang penuh kesabaran. Dia hanya mampu untuk menjenguk anak menantunya saja yang
berada di dalam penjara apabila wang mula menjadi modal untuk melepaskan
tahanan sebagaimana nasib suaminya dulu. Rosnah yang kini menjadi janda muda
merintih kisah-kisah kehidupan serupa dengan nasib Mak Bibah.
Hari bertemu bulan, bulan bertemu
tahun ibarat tiada noktahnya begitu jugalah kisah itu ditelan oleh hari-hari
yang mendatang. Mak Bibah tetap meneruskan tangungjawabnya sebagai pembuat kuih
yang handal di warung yang usang itu. Hidup Mak Bibah hanya dihabiskan dengan
tugasnya sebagai ketua keluarga. Rosnah pula tetap dengan perangainya yang
tidak siuman membilang hari kepulangan suami yang amat dicintainya Budin.
Separuh gila juga Mak Bibah memujuk Rosnah untuk tidak meratap Budin yang masih
di dalam penjara. Kekangan daripada itu, Mak Bibah terpaksa menjaga cucunya
yang masih kecil dan memelihara Rosnah yang serba tak keruan itu. Mak Bibah
tidak pernah menyalahkan takdir bahawa semua yang berlaku mungkin atas
kelalaiannya yang terlalu memanjakan anak-anak sehingga dia terpaksa menanggung
itu semua. Sebelah pagi Mak Bibah terpaksa menjaga Rosnah dengan memandikan dan
menyikat rambut Rosnah dan akan segera turun di hadapan warung bersama kuih
hasil jualannya yang digoreng awal subuh lagi. Kuih Piyang berintikan kacang
hitam digoreng panas-panas pastinya menjanjikan pintu rezeki yang diharapkan.
“Mak Bibah, apa khabar Mak Bibah ?
Ada kuih untuk aku lagi ?” Leman menyapa Mak Bibah yang duduk menanti
pelanggannya.
“ Leman, pastinya Mak Bibah
simpankan. Mungkin ada eloknya aku berhenti daripada menjual kuih piyang ini
tapi aku tak berdaya Leman.”
“Kenapa Mak Bibah cakap macam tu ?”
Keliru.
“Aku dah tua Leman, mungkin pada pandangan
kamu aku sihat-sihat saja tapi batin aku yang tersiksa. Mana menahan jemuhan
dari orang sekeliling.” Keluh Mak Bibah.
“Ala Mak Bibah jangan dengar cakap
orang sangat. Rezeki orang masing-masing. Mereka di kampung termakan dengan
kata-kata Mak Lijah tu. Tak habis-habis nak kutuk rumah tangga orang lain.
Padahal tu hah ! Anak lelakinya suka merosakkan anak dara orang, berbuih mulut
berkata, tapi semuanya disangkalnya konon anak orang lain yang gatal.” Tegas
Leman bersungguh-sungguh.
“Biarlah Leman dia nak mengutuk aku,
asal aku tak ganggu keluarganya sudahlah. Aku tiada apa yang perlu ditayangkan
dan hartaku sikit pun tak pernah menganggu kehidupannya. Aku ini orang susah
dan sudah lali mendengar cacian orang.” Sambil membetulkan kedudukan kuih piyangnya
yang berada di atas meja jualannya.
“Nah Leman, macam biasa bahagian
untuk kau.” Mak Bibah menghulurkan sebungkus kuih piyang yang masih hangat.
“Terima kasih Mak Bibah.”
Leman tersenyum dan mengambil bungkusan itu
lalu pergi dengan motorsikalnya terus lenyap ditelan oleh rumah-rumah kampung
yang berderetan sepanjang jalan di
kampung pisang-pisang yang lenggang itu. Hanya sesekali jalan itu dilalui oleh
lori-lori dan bus sekolah kadang-kadang singah mendapatkan jualan Mak Bibah.
Biasanya Mak Bibah akan duduk menanti pelanggannya sehingga matahari terbit
naik. Kalau masih berbaki Mak Bibah akan menghantarnya ke surau. Dari jauh
Rosnah akan memerhati emaknya menjual bersama Amin yang berumur 3 tahun. Rosnah
akan duduk di tangga rumah menanti kepulangan suaminya. Kasih sayang yang
melampau menyebabkan Rosnah menjadi
tidak keruan sehingga tidak mampu untuk menguruskan dirinya. Mak Bibah hanya
mampu menangisi nasibnya yang hanya dibayar dengan airmata. Pada sebelah petang
Mak Bibah akan menghabiskan masanya di kebun sayur yang diusahakan bagi
menampung kehidupannya. Mak Bibah akan mendukung cucunya sambil memetik cili
merah yang masak meranum. Sayur terung yang tergantung panjang amat sesuai
dipetik segar dibuat gulai lauk makan malam. Batas-batas sayur yang segar
menghijau menandakan rezeki untuk keluarganya pada bulan ini akan bertambah.
Sayur kacang panjang yang menari-nari ditiup angin seperti kegembiraan bersedia
untuk dipetik. Buah betik dan pucuk ubi yang dipetik dan diikat sengenggam
menandakan esok pagi Mak Bibah akan menjual hasil tanaman bersama-sama dengan
kuih piyangnya. Hari itu dilalui dengan penuh kebahagian apabila semua
jualannya habis dijual. Semuanya telah berubah apabila Mak Lejah tidak lagi
berani menyakap keluarga Mak Bibah setelah anak lelakinya dihukum ke tali
gantung kerana mengedar dadah. Mak Bibah yang mendengar berita itu hanya mampu
mendoakan kebahagian ke atas Mak Lijah dan memaafkan segala perbuatan lalunya.
Luhurnya hati Mak Bibah tanpa menyimpan perasaan dendam menyebabkan masyarakat
kampung memandang tinggi keperibadian Mak Bibah seorang yang pemaaf. Mak Bibah
menghabiskan masanya bersama cucunya di kebun sambil diperhatikan oleh Rosnah
yang duduk dibawah pohon jambu merah yang masak meranum.
“Mak,….” Suara Rosnah memanggil emaknya.
“Kenapa nak ?” Mak Bibah merumput
pada petang itu.
“Abang Budin tak pulang ? Lama dah
abang Budin tak pulang”. Rosnah mencarik-carikkan hujung bajunya yang berwarna
merah.
Tersentak juga Mak Bibah mendengar
perkataan yang keluar dari mulut Rosnah. Senyuman Mak Bibah terukir dengan
pipinya yang berkedut halus tiba-tiba
dibasahi oleh air mata yang suam-suam.
“Jangan difikir perkara yang sudah
berlalu Ros, sekarang ni kau dah berkeluarga dan ada anak. Apa kau tak kesian
tengok anak kau yang masih kecil tu. Mungkin ni semua takdir untuk kita. Tapi
kau kena ingat masa sekarang. Cucu emak tu perlukan kasih sayang dari kau ibu
yang melahirkannya.” Nasihat Mak Bibah didengar baik-baik oleh Rosnah.
Tiba-tiba.
“Nenek………………..” Jerit Amin cucunya
dari rimbunan sayur-sayur.
“Arhggggggggggg………(menangis)
Suara Amin meriuhkan suasana petang
itu dengan nada tangisan yang penuh dengan kesakitan. Amin mengerang dengan
penuh kesakitan. Mata Mak Bibah terbeliak besar mendengar suara kesakitan itu.
“Subhanallah cucu aku !!!!!!!!! Amin
!!!!!!!!!!!!!” Mak Bibah meninggalkan Rosnah yang seolah-olah tidak menyedari
apa-apa yang berlaku.
Alangkah terperanjatnya Mak Bibah
melihat cucunya terbujur terlentang betul-betul di atas batas sayur terung
dengan wajah yang pucat lesi. Suara Amin tersekat-sekat. Pandangannya kabur dan
kehitam-hitaman. Mak Bibah yang dalam keadaan penuh cemas menjerit dengan
sepuas hatinya apabila seekor ular tedung telah memuntahkan bisa keatas badan
cucu kesayangannya itu. Mak Bibah mengerang dengan kehibaan apabila suara Amin
mula hilang dan nafasnya behenti dengan serta-merta. Mak Bibah memapah tubuh
kerdil itu dengan penuh kasih sayang. Merangkul erat dengan airmata sambil kain
bajunya dibasahi oleh ketulan peluh kerisauan. Suasana petang itu seolah-olah
mengerti bahawa Amin pergi meninggalkan kenangan masa lalu bersama neneknya Mak
Bibah dan ibunya Rosnah. Rosnah menjadi tidak keruan dan bertambah tidak
siuman. Orang kampung mula memenuhi perkarangan rumah Mak Setiap mata berkaca-kaca kemerah-merehan.
Menahan kehibahan senja itu. ekujur tubuh kerdil yang diliputi kain putih
melampiaskan kesedihan seluruh penduduk kampung yang datang. Wajah Amin yang
pucat dengan wajah manis penuh senyuman seperti menandakan dia tenang pergi
buat selama-lamanya.
oleh : Sabran bin Kibong
oleh : Sabran bin Kibong
No comments:
Post a Comment