Saturday 30 November 2013

PROGRAM KEUSAHAWANAN SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI



Para pelajar daripada program ekonomi perancangan dan pembangunan (HE05) telah mengadakan satu program keusahawanan pada 11 sehingga 15 november yang lalu bertempat di foyer sekolah tersebut. Program keusahawanan ini telah disertai oleh pelajar-pelajar daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi dan terdapat juga para peniaga daripada luar yang menyertai program tersebut. Program keusahawanan ini telah dirasmikan sendiri oleh ketua program HE05 iaitu Tuan Haji Dullah Haji Mulluk.
Sebanyak dua belas gerai telah disediakan kepada pelajar dan juga orang awam untuk mereka menjual pelbagai jenis produk seperti kraftangan, makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Harga produk-produk yang dijual juga berpatutan dan bersesuaian dengan target pembeli iaitu siswa dan siswi yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah. Persekitaran tempat mereka melakukan program keusahawanan ini juga bersih dan tersusun menyebabkan pelanggan tidak merasa was-was untuk membeli produk-produk yang dijual di sana.
Program keusahawanan ini dilakukan bukan bertujuan untuk meraih dan mengaut keuntungan hasil daripada jualan mereka tersebut, tetapi ia merupakan salah satu cara yang baik untuk mendedahkan para pelajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi dalam bidang keusahawanan. Program seperti ini amat bermanfaat dan berfaedah kepada mereka kerana pengalaman yang ditimba amat bernilai dan tidak akan dapat dibeli meskipun dengan wang ringgit. Pengalaman seperti ini amat membantu mereka ketika memasuki alam pekerjaan suatu hari nanti.

DAYANG SITI RAHMAH RABAHA / SEKOLAH PENGAJIAN SENI


No comments:

Post a Comment