Saturday 30 November 2013

AKIM AHMAD MENGGEGARKAN MALAM PENUTUPAN TAMU GADANG UMS 2013

Pada 25 November 2013 bersamaan hari Isnin, Akim telah dijemput hadir untuk memeriahkan malam penutupan Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-15 itu. Ternyata pada malam itu Padang Kawad UMS  dipenuhi dengan kelibat para pelajar UMS yang menanti-nantikan kehadiran penyanyi pujaan mereka itu. Terdapat juga warga luar yang datang daripada institusi pengajian yang lain seperti pelajar dari Cosmopoint dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Walaupun dalam keadaan hujan, para penonton tetap setia menunggu kehadiran Akim. Apabila sahaja Akim naik ke pentas, semua orang bersorak dan menjerit-jerit lalu menjadikan malam itu amat meriah. Akim memulakan persembahannya dengan sebuah lagu yang cukup popular iaitu “Menunggu”. Apa yang menarik tentang persembahan ini adalah Akim mengajak seorang pelajar dari Cosmopoint untuk bersamanya di atas pentas. Ternyata  Akim merupakan seorang yang sporting dan mesra terhadap peminatnya.

Seterusnya, Akim meneruskan persembahan yang energetik dengan menyanyikan lagu “Inilah Cinta”. Pada masa Akim menyanyikan lagu ini, dia turun ke pentas dan menjabat tangan peminat-peminatnya. Persembahan Akim pada malam itu di akhiri dengan lagunya yang bertajuk “Janji”. Semua orang pada malam itu sangat terhibur dengan semua persembahan Akim. Menurut seorang pelajar Hubungan Industri UMS iaitu Nurul Adha (20 tahun), dia amat minat terhadap Akim dan dia sangat terhibur dengan persembahan Akim itu.


Kesimpulannya, kehadiran Akim pada malam itu telah menggegarkan malam penutupan Tamu Gadang UMS yang ke-15. Walaupun dalam keadaan hujan, penonton tetap tidak berganjak dan hal itu telah membuatkan Akim rasa terharu. Selain persembahan nyanyian dari Akim, malam itu juga turut dihangatkan oleh “Modern Dance Competition”.






DITULIS OLEH : AIYUB MS

No comments:

Post a Comment