Pada 16 November 2013 bersamaan hari sabtu, sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan aktiviti kemasyarakatan “Seeing Inside Kampung Pukak Kiulu”
bertempat di Kampung Pukak Kiulu, Tamparuli. Aktiviti ini sebenarnya diadakan
oleh pelajar UMS yang mengambil unit beruniform Kepimpinan dan Motivasi
(BAKTISISWA). Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh mereka sendiri dan
penyelarasnya merupakan pensyarah kursus itu sendiri iaitu Cik Jacqueline Atat.
Program yang telah diarah oleh
Cik Tan Saw Yen ini mempunyai banyak pengisian atau pun aktiviti yang cukup
unik dan menarik. Antaranya ialah, “Knock
and Smile”. Aktiviti ini merupakan aktiviti yang sangat mulia dan bertujuan
untuk berjasa kepada masyarakat di Kampung Pukak Kiulu. Untuk aktiviti ini, 8
buah rumah telah dipilih dan yang pastinya penghuni rumah itu adalah golongan
yang agak susah serta memerlukan bantuan. Sumbangan yang telah diberikan adalah
berupa barangan perbelanjaan rumah seperti beras, gula dan banyak lagi. Menurut
Encik Maidin,48 tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), dia sangat
berterima kasih kepada pihak BAKTISISWA kerana telah memberi sumbangan sebegitu rupa dan ia sedikit dapat meringankan beban perbelanjaan rumah mereka.
Selain itu, dalam aktiviti ini juga peserta program ini dikehendaki untuk
mengupas kisah hidup orang-orang yang telah dilawat. Ternyata terdapat di antara mereka yang
mempunyai kisah hidup yang menyayat hati. Hal itu cukup menyentuh hati para
peserta program itu.
Di samping itu, program ini juga
turut tidak melupakan golongan kanak-kanak dengan mengadakan sukaneka yang
meyeronokkan. Antara sukaneka itu adalah “Passing The Ballon” dan “Spongebob
Wetpants”. Aktiviti-aktiviti ini cukup menggembirakan kanak-kanak di sana dan
jelas terukir senyuman di bibir mereka. Bukan sahaja itu, pertandingan mewarna
dan “Fashion Show” juga telah diadakan. Apa yang menarik tentang pertandingan
“Fashion Show” itu adalah setiap peserta mesti menghasilkan baju yang diperbuat
dari bahan kitar semula iaitu surat khabar lama. Ternyata acara itu sangat
meriah serta menunjukkan kreativiti penduduk Kampung Kiulu. Adat bertunang ada
cincinnya, adat bertanding ada hadiahnya, pemenang bagi setiap pertandingan itu
telah diberikan hadiah.
FOKUS... Para peserta fokus mewarna bagi mendapat hasil yang terbaik |
Dalam pada itu, JKK Kampung Pukak Kiulu, En.
Dhuin Sinour berbesar hati menyambut kedatangan pelajar UMS dan dia amat
berbangga kerana memilih kampung itu sebagai lokasi pilihan untuk berbakti
terhadap masyarakat di sana. Dia juga turut mengalu-alukan pelajar UMS untuk
memilih kampung itu lagi sebagai destinasi pilihan. Menurut salah satu peserta
program itu iaitu Mohd Aiyub, dia cukup gembira kerana dapat berbakti terhadap
masyarakat kampung itu di samping berkongsi kegembiraan bersama penduduk di sana
menerusi aktiviti yang telah dipraktikkan. Tambah beliau, pelajar universiti seperti dia sendiri wajar di beri pendedahan tentang kemasyarakatan serta
kepimpinan agar dapat membentuk pelajar yang bukan sekadar kelas pertama dalam
akademik malah kelas pertama dalam kepimpinan dan kemasyarakatan.
COMEL... Pertandingan "Fashion Show" yang bertemakan kitar semula |
Oleh yang demikian, program "Seeing Inside Kampung Pukak Kiulu" ini sangat memberi makna kepada penduduk di sana dan
juga semua peserta program itu. Justeru, aktiviti sebegini seharusnya
diperbanyakkan lagi agar dapat melahirkan mahasiswa yang holistik yakni mahir
dalam pelbagai bidang atau aspek seperti kepimpinan dan kemasyarakatan.
SERONOK... Para peserta program sempat lagi mengamati keindahan alam di Kampung Pukak Kiulu
DITULIS OLEH : AIYUB MS
|
pengisian yang padat dan menarik...
ReplyDeleteTerima kasih wan kerana singgah ke blog kami :)
Delete