Sunday, 17 November 2013

RASISME : Pelajar universiti adalah antara penyumbangnya ...

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kumpulan etnik yang pelbagai. Hal ini membuatkan Malaysia merupakan salah satu negara yang unik kerana masyarakatnya hidup di dalam keadaan yang berbeza kaum serta agama. Namun di sebalik kelebihan itu, terdapat “penyakit” kronik yang telah lama bersarang di dalam kalangan kaum di negara ini iaitu rasisme.

      Memang tidak dapat dinafikan bahawa rasisme itu telah lama wujud dan ia bukanlah isu yang baharu. Namun perkara ini amat mengecewakan apabila terdapat pelajar universiti yang rasis terhadap kaum lain. Seharusnya, sebagai pelajar universiti, rasisme itu hendaklah dikikis kerana ia sangat tidak baik untuk keharmonian negara malah ia dapat memecahbelahkan suatu kaum itu sesama sendiri.

     Rasisme ini amat ketara apabila berada di dalam dewan kuliah yakni pelajar duduk bersama pelajar yang sesuku dengan mereka sahaja. Sebagai contohnya, kaum Cina dengan kaum Cina dan kaum Melayu dengan Melayu. Selain itu, rasisme ini juga kita boleh nampak dalam tugasan berkumpulan di mana pelajar hanya ingin berkumpulan dengan pelajar yang sama kaum dengan mereka. Terdapat juga pelajar yang menghina serta memandang rendah sebuah kaum itu. Hal ini amat meruncing dan seharusnya tidak dibiarkan kerana masalah ini akan membuat matlamat Satu Malaysia tidak dapat tercapai.

     Apa yang paling mengecewakan ialah apabila rasisme ini ditunjukkan melalui perlakuan vandalisme seperti contengan di suatu tempat yang berbau rasis. Hal ini banyak berlaku di dalam universiti dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut terkena tempiasnya. Terdapat contengan yang berintikan rasis di kawasan tertentu seperti di dalam bilik air. Pelajar menulis sesuatu pernyataan yang tidak baik terhadap sebuah kaum itu dan ianya sangat rasis. Hal ini sangat tidak baik kerana ia dapat menimbulkan permusuhan di antara kaum yang terlibat. Pelajar seharusnya berfkir seperti seorang pelajar universiti yang sebenar iaitu positif dan tidak rasis terhadap suatu kaum.


     Sesungguhnya, rasisme ini haruslah dibuang dari diri seseorang itu kerana ia sememangnya tidak memberi manfaat kepada kita, malah ia akan mendatangkan masalah kepada diri, masyarakat dan negara. Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa, rasisme itu hendaklah di buang jauh-jauh supaya kita boleh menjadi mahasiswa yang cemerlang tanpa rasis terhadap sesebuah kaum.



DITULIS OLEH : AIYUB MS

No comments:

Post a Comment