Sunday, 24 November 2013

Asas Kebudayaan Dan Keusahawanan (APK)


       Ekspo APK (asas pembudayaan keusahawanan) kembali lagi. Pada semester ini Ekspo APK menggunakan tema `Make It Happen`. Ekspo yang diadakan buat kali yang ke-9 ini  berlangsung dari 18 November 2013 sehingga 22 November 2013, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di perkarangan tempat letak kereta perpustakaan UMS.
     Ekspo APK ini melibatkan pelajar dari pelbagai jurusan seperti pelajar bidang Sains dan bidang Sastera. Kebiasaannya kita dapat lihat dalam bidang keusahawanan ini hanya melibatkan pelajar jurusan Perniagaan sahaja. Namun kini di Universiti Malaysia Sabah bidang keusahawanan ini melibatkan semua bidang tidak kira samaada jurusan Sains atau  Sastera. Ini kerana Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyedari kepentingan bidang tersebut kepada pelajar  bagi menghadapi masa hadapan selepas tamat pengajian
     Selain itu, aktiviti keusahawanan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan bina upaya terhadap masa depan negara. Justeru, golongan belia amat digalakkan untuk menceburi bidang berkenaan pada peringkat awal bagi menimba pengalaman dan ilmu yang secukupnya. Menerusi bidang keusahawanan ini pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri bagi berhadapan dengan masyarakat kelak dan mendapat pengalaman serta pengetahuan baru dalam bidang keusahawanan.
     Di Universiti Malaysia Sabah pelajar peringkat prasiswazah di wajibkan mengambil kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) bertujuan menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan siswa-siswi universiti dan bagi memenuhi keperluan syarat ijazah.
     Oleh itu, Kursus tersebut telah menganjurkan Ekspo APK yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menjalankan perniagaan dengan menjual hasil keluaran mereka sendiri sebagai implementasi terhadap segala teori dalam asas keusahawanan yang dipelajari. Pada Ekspo APK baru-baru ini terdapat banyak gerai menjual pelbagai barangan antara yang diniagakan termasuklah barangan kreatif, makanan dan minuman, pakaian, permainan dan sebagainya.







Oleh : Syazwani Binti Mohammad

No comments:

Post a Comment