Selain terkenal dengan keindahan bangunan Dewan Canselor, Masjid UMS, Eco Campus, kecantikan persekitarannya dan bangunan yang lain, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga terkenal dengan keindahan pantainya iaitu, Pantai ODEC UMS.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa UMS merupakan antara universiti yang tercantik bukan setakat di Malaysia namun di peringkat Asia Tenggara juga. Oleh itu, keindahan Pantai ODEC sememangnya merupakan salah satu pendorong atau pun faktor yang menyebabkan UMS merupakan universiti yang cantik lagi harmoni.
Mengapa diberi nama Pantai ODEC? Hal ini kerana pantai itu terletak di Outdoor Development Centre (ODEC). Pendek kata, ia disesuaikan dengan nama tempat ia berada dan juga kerana ia adalah tempat melakukan aktiviti luar. Sesungguhnya, UMS amat menitikberatkan sifat semulajadi alam sekitar dan ia telah mengekalkan keaslian alam dengan menjaga kebersihan Pantai ODEC, menanam pokok-pokok kehijauan di persekitaran kampus dan juga kolej kediaman serta menitikberatkan kebersihan seluruh kawasan di universiti.
Lazimnya, Pantai ODEC ini banyak digunakan untuk aktiviti di universiti seperti untuk tempat latihan para atlet yang menceburkan diri dalam bidang sukan Kayak, Kenu dan banyak lagi yang berkaitan dengan sukan air. Selain itu, aktiviti kokurikulum bagi sukan Kenu juga sering dilakukan di pantai ini. Bukan sahaja sukan Kenu, aktiviti kawad untuk unit kokurikulum seperti Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) juga dilakukan di pantai yang indah ini. Sebagai contohnya, unit SISPA telah melakukan kawad kaki sempena Kursus PTB Kor-SISPA UMS 2013 pada 05 hingga 08 November tahun ini. Di samping itu, pantai ini juga sering dijadikan tempat untuk majlis “Family Day” sesebuah persatuan atau sekolah (fakulti).
Keindahan itu selalunya di sukai oleh orang ramai, begitulah pantai ODEC ini yang sering menerima kunjungan dari pelajar UMS sendiri. Mereka sering ke pantai untuk bermandi-manda, bersenam dan ada juga yang membuat majlis untuk sambutan harijadi dan majlis “barbeque”. Selain itu juga, orang luar juga sering ke Pantai ODEC ini untuk melakukan hal yang sama dengan apa yang dilakukan oleh mahasiswa UMS. Kebanyakan orang sangat gemar menatap keindahan matahari terbenam di Pantai ODEC.
Oleh yang demikian, Pantai ODEC ini amat sinonim dengan keindahan UMS dan ia merupakan khazanah yang tak ternilai bagi UMS. Justeru, khazanah yang satu ini hendaklah dipelihara daripada pencemaran ataupun kemusnahan supaya kita terus dapat menikmati anugerah Tuhan Yang Esa ini.
Pantai ODEC UMS |
Ditulis oleh : AIYUB MS
No comments:
Post a Comment