Friday, 17 January 2014

Monsopiad Cultural Village

  Monsopiad Cultural Village : Anugerah Terindah Bawah Bayu

   Kampung Kebudayaan Monsopiad ialah kampung yang dibina dengan tujuan memperingati kegagahan pahlawan Kadazan dan pemburu-pemburu kepala Monsopiad. Kampung ini dibina pada 1 Mei 1996, dan kampung tradisi ini dibina diatas tapak bersejarah iaitu tanah yang diduduki Monsopiad sejak tiga abad yang lalu. Kampung ini dijadikan Kampung Kebudayaan Monsopiad kerana pada zaman lampau, iaitu zaman pemburuan kepala dan pemujaan roh serta pemerintahan Bobohizan. Ketika itu terdapat paderi perempuan tersuci di kalangan orang KadazanDusun. Beliau memerintah kampung-kampung dan juga menjaga kesihatan fizikal dan jiwa rakyatnya.  Manakala, Kampung ini ketika itu dikendalikan oleh orang keturunan Monsopiad. Sepanjang hidup Monsopiad, dia memburu 42 biji tengkorak musuhnya sebagai bukti kegagahannya dan tengorak-tengorak hasil buruannya dijaga dengan baik oleh anak cucunya yang memegang kuat dengan adat tradisi Kadazan. Oleh itu, konsep penubuhan Kampung Kebudayaan Monsopiad adalah untuk tujuan penyelidikan, dokumentari, pemeliharaan kebudayaan kuno, dan mengekalkan tradisi kehidupan orang-orang KadazanDusun.

   Lebih kurang 300 tahun yang lalu, masyarakat kadazandusun di kampung Kuai Kandazon, Penampang tinggal di rumah panjang. Sungai Moyog merupakan satu-satunya jalan utama perhubungan menuju ke arah Petagas dan ke arah Donggongon. Mereka mengunakan sungai sebagai jalan utama untuk mengambil hasil hutan dan menjual beli barangan antara mereka secara `barter trade’. Jika tidak menaiki sampan atau berakit, mereka berjalan kaki meredah hutan menuju ke tempat yang ditujui. Pada masa itu, kampung ini sering didatangi oleh perompak-perompak. Perompak-perompak ini mencuri hasil pertanian dan ternakan mereka. Keadaan ini menjadi ancaman kepada penduduk-penduduk disitu. Mereka sentiasa dalam ketakutan dan tidak berani berjalan seorang diri ke dalam hutan dan mengerjakan pertanian mereka. Bermula daripada peristiwa itu, seorang lelaki yang bernama Monsopiad telah membunuh dan memenggal kepala-kepala perompak itu dan mempamerkannya sebagai satu amaran kepada perompak-perompak lain agar tidak datang ke kampung mereka. Monsopiad berjaya memenggal 42 kepala manusia sepanjang riwayatnya termasuklah pencabar-pencabar Monsopiad yang tinggal di daerah Penampang. Dikatakan Monsopiad telah mengukir tanda pangkah bagi setiap kepala perompak yang berjaya dipenggal pada sebuah batu . Batu ini akhirnya dijadikan sebagai batu nisan Monsopiad selepas dia meninggal.

   Sejarah bermula apabila Kizabon melahirkan seorang anak lelaki iaitu hasil perkahwinannya dengan Dunggou iaitu suaminya. Mereka tinggal di sebuah rumah panjang di kampung Kuai Kandazon, Penampang sejak 300 tahun yang lalu. Peristiwa bermula apabila Kizabon dan Dunggou terdengar bunyi seekor `Bugang ’ diatas bumbung rumah mereka ketika Kizabon sedang melahirkan anak. Dunggou menganggap kejadian itu terlalu istimewa lalu dia memanjat bumbung rumah panjang itu. Disitu dia ternampak satu sarang Bugang. Di dalam sarang itu, terdapat sebiji telur Bugang yang turut menetas. Tetapi Bugang tidak berada disitu lagi. Yang tinggal hanyalah pecahan kulit telur. Dunggou menganggap kejadian itu sebagai satu petanda yang baik dan percaya bahawa anak lelakinya yang baru dilahirkan itu adalah anak yang perkasa. Lalu Dunggou mengambil pecahan telur itu dan merendamkan ke dalam mandian anaknya. Perkara ini sentiasa dilakukan oleh Dunggou sehinggalah anaknya membesar. Dunggou menamakan anaknya sebagai Monsopiad.

    Setelah dewasa, Monsopiad diajar oleh datuknya dalam seni mempertahankan diri. Monsopiad dikatakan seorang yang tampan dan segak serta berambut panjang. Ketinggiannya adalah sederhana sahaja. Ketampanan dan susuk badan Monsopiad menyebabkan ramai gadis-gadis berminat berkahwin dengannya. Monsopiad juga selalu berlatih dengan menggunakan pedang yang diberikan oleh datuknya. Disamping berlatih menggunakan pedang, Monsopiad gemar melompat sungai-sungai dan parit-parit. Lompatannya ini dikatakan sangat luarbiasa.

     Pada satu hari, lebih kurang 40 orang gadis meminta Monsopiad menemani mereka pergi ke sawah padi untuk `menabas ’. Setibanya di sawah padi, mereka mendapati padi-padi mereka sudah di curi. Mereka sangat kecewa kerana selama ini mereka bertungkus lumus mengerjakan sawah padi tetapi hasilnya tidak banyak kerana di curi. Monsopiad memberitahu gadis-gadis itu bersabar dan terus mengerjakan sawah padi mereka seperti biasa dan tunggu semusim lagi. Semusim telah berlalu, sekali lagi perompak-perompak itu mencuri hasil pertanian mereka. Gadis-gadis itu sangat marah lalu mencabar Monsopiad agar memenggal kepala perompak-perompak itu jika dia seorang lelaki. Mereka berjanji akan melantik Monsopiad sebagai `Huguan Siou’ dan segala apa yang dia cakap, penduduk disitu akan menurutinya. Monsopiad pun bersetuju dengan syarat, jika dia berjaya memenggal kepala-kepala perompak itu, dia mahu satu penghormatan khas diadakan iaitu Monsopiad harus digendong dan satu jamuan makan secara besar-besaran diadakan dan semua orang harus berkumpul untuk menyambut kepulangannya. Gadis-gadis itu meminta apakah petanda Monsopiad berjaya membawa balik kepala perompak-perompak itu. Monsopiad mengatakan, dia akan menjerit `Kiii...hii... ’ sambil membunyikan `tobui ’. Keesokkan harinya, Monsopiad menggalas sebuah `gozong ’ yang berisi makanan dan membawa sebilah pedang lalu beredar dari rumah panjang untuk mencari perompak-perompak. Seperti yang dijanjikan oleh Monsopiad, dia telah berjaya memenggal beberapa kepala perompak-perompak dengan menggunakan pedang. Kepala-kepala perompak itu dimasukkan ke dalam `gozong’ nya lalu balik ke rumah panjang. Monsopiad telah disambut secara penuh tradisi sebagai seorang `Huguan Siou’ oleh golongan `bobohizan ’ dan penduduk kampung. Perkara ini berterusan sehinggalah keadaan menjadi aman di kampung mereka. Kepala-kepala yang dipenggal diletakkan diatas `bangkahak’ untuk dikeringkan kemudian dicampurkan dengan `hizad ’. Selepas itu, tidak ada lagi kedengaran perompak-perompak datang ke kampung mereka untuk mencuri ternakan dan pertanian. Walau bagaimanapun, beberapa orang yang tinggal di kawasan penampang merasa tidak senang hati dengan kehandalan Monsopiad. Mereka ialah Gantang , Manggung dan Sangkad . Mereka terasa tercabar dan mahu berlawan dengan Monsopiad bagi menunjukkan siapa yang handal di seluruh daerah Penampang. Malangnya pencabar ini semuanya berjaya ditewaskan oleh Monsopiad dan seterusnya memenggal kepala-kepala mereka.

    Pada suatu malam, semasa Monsopiad tertidur kerana mabuk meminum tapai di rumah kediamannya, Monsopiad telah di serang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali yang mahu membunuh Monsopiad dengan menggunakan parang. Penyerang gagal membunuh Monsopiad kerana Monsopiad dikatakan kebal. Pada malam itu, Monsopiad berjaya menewaskan beberapa penyerangnya dengan hanya menggunakan penumbuk. Walau bagaimanapun, daripada serangan itu, Monsopiad telah tertumbuk dinding rumah yang diperbuat daripada bambu kerana penyerangnya berjaya mengelak. Ini menyebabkan tangan Monsopiad terluka terkena bambu. Melihat keadaan itu, Monsopiad melompat keatas bumbung rumah lalu melarikan diri dan bersembunyi ke dalam hutan. Selepas kejadian itu, Monsopiad menderita kesakitan dan luka itu tidak dapat disembuhkan. Monsopiad akhirnya meninggal dan dikuburkan diatas bukit di kampung Kuai Kandazon, Penampang oleh penduduk-penduduk kampung. Batu yang di ukir oleh Monsopiad kemudiannya diletakkan diatas kuburan Monsopiad. Kuburan ini masih kelihatan sehingga sekarang.

      Monsopiad Cultural Village atau juga dikenali sebagai Kampung Kebudayaan Monsopiad mempunyai beberapa tempat yang menarik di dalamnya, antaranya seperti rumah Posignsiman iaitu dikenali sebagai tempat kaunter pendaftaran sebelum masuk ke dalam kampung tersebut. Terdapat juga tempat seperti Gintuhun Do MoHoing, tempat ini terdapat buluh yang dipacakkan sekeliling batu, tempat untuk meletakkan kepala yang dipenggal oleh Monsopiad, kepala di biarkan kering yang tinggal hanya tengkorak,tengkorak yang kering di gantung di alang rumah iaitu Rumah Tengkorak. Selain itu, Terdapat Siou Do Mohoing atau lebih dikenali sebagai Rumah Tengkorak yang menempatkan 42 ‘trofi’ milik Monsopiad bergantungan di Kasau, terdapat juga tengkorak original yang berbentuk muka orang utan.

      Selain itu, terdapat Tangkob atau tempat pengumpulan Padi.  Kotos di Monsopiad atau Rumah Utama Monsopiad juga dibina khusus untuk memperingati Monsopiad dan keturunannya. Turut dipamerkan ialah tembikar, mesin padi, peralatan buluh dan juga busana Bobohizan Inai Bianti, iaitu keturunan terdekat Monsopiad dan seorang ketua adat yang amat dihormati suatu ketika dahulu. Tambahan pula, pameran lain yang tidak kurang hebat dan sangat menarik ialah Monolit agam yang merujuk kepada pelbagai lagenda serta terdapat restoran tradisional.

      Minuman menyambut tetamu juga diadakan, minumannya merupakan ‘Tapai’ iaitu sejenis minunam arak beras akan dihidangkan setelah pelawat sampai di sana. Malahan, di kampung Kebudayaan Monsopiad terdapat tempat memproses tuak atau arak buatan sendiri, terdapat bahan-bahan mentah dan peralatan tradisional di dapurnya untuk menghasilkan arak. Di sana juga terdapat tempat penghasilan sagu, mereka juga memelihara Ulat sagu, bagi yang ingin memakan ulat tersebut mestilah memutuskan kepalanya terlebih dahulu, ulat di letakkan diatas papan yang terdapat paku yang sudah di pacakkan.

     Terdapat juga tempat khas unutk menjalankan aktiviti menyumpit ke arah buah yang bergantungan. Di Kawasan kampung kebudayaan Monsopiad ini juga kita dapat melihat rumah panjang, cara menuai padi dan jambatan bergantung. Selain itu, Komuniti tempatan juga akan mempersembahkan tarian kebudayaan, pentas persembahan dikawasan itu sangat selesa kerana anginnya terasa bertiup kencang, para tetamu juga boleh mengambil bahagian dalam tarian tersebut.
    
     Oleh yang demikian, Monsopiad Cultural Village ini juga telah menjadi tumpuan para pelancong yakni para pelancong sangat tertarik dengan budaya serta unsur budaya yang dipamerkan di dalam kampung warisan itu.

                                      Gambar : Kampung Kebudayaan Monsopiad
         
 Alamat :          Monsopiad Cultural Village Sdn Bhd
                        Kg.Kuai/Kandazon Penampang
                        Peti Surat 153 Tanjung Aru
                        89458 Kota Kinabalu
                        Sabah Malaysia.

       Artikel by :    Muhammad Ayub Bin Muhd Suratan
                            Syazwani Binti Mohammad
                            Dg Siti Rahmah Binti Rabaha
                            Sabran Bin Kibong
                            Dg Nurfahimah Binti Ag Esa

Grand Recital 2013

Grand Recital’ menyerlahkan bakat dan kreativiti pelajar Sekolah Pengajian Seni

RABU- 4 Disember 2013, telah berlangsungnya satu majlis besar-besaran yang di namakan ‘Fashion and Showcase (Grand Recital)’ yang bertemakan ‘Retro’. Majlis ini diadakan di Dewan Resital, Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah. Pengisian majlis ini adalah persembahan yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Pengajian Seni, terdiri daripada pelajar tahun 1 dan tahun 2 daripada Program Seni kreatif, Program Teknologi Seni Visual dan Program Seni Muzik.
     
     Antara Persembahan yang dipersembahkan semasa Grand Resital ini berlangsung ialah Persembahan Tarian sebagai pembukaan daripada pelajar tahun 2 (Major Tari) dengan berkonsepkan tarian retro, dan seterusnya Persembahan Koir, lakon, dan bersajak daripada pelajar tahun 1, serta Persembahan teater dan sajak daripada hasil gabungan pelajar tahun 2 dan 3. Kesemua persembahan ini, telah memperlihatkan kehebatan bakat pelajar SPS dan hasil gabungan dan kerjasama mampu meraih persembahan yang menarik.
Selain itu, Fashion Show yang diperagakan oleh Pelajar Cosmopoint dan Pelajar Sekolah Pengajian Seni, telah menyerlahkan kreativiti pelajar. Pakaian yang diperagakan adalah hasil rekaan daripada pelajar cosmopoint dan pelajar Sekolah Pengajian Seni.
                     

                                                                   Fashion show
     
    Kemudian Persembahan pada petang itu, di serikan dan dimeriahkan lagi oleh Persembahan nyanyian,koir dan pelbagai alat instrumens muzik yang dimainkan oleh pelajar dari Program Seni Muzik, Sekolah Pengajian Seni serta Persembahan khas daripada Band undangan.

        
   Apa yang dapat disimpulkan bahawa Grand Resital merupakan satu Majlis atau persembahan yang besar yang telah dijalankan di Dewan Resital, dimana ianya telah menggabungkan hasil kerjasama daripada Pelajar Seni kreatif, Teknologi Seni Visual dan Muzik dari Tahun 1 dan tahun 2. Selain itu, kerjasama daripada pihak kolej Cosmopoint telah memeriahkan lagi Majlis Grand Resital tersebut. Hasil daripada kerjasama antara pelajar tahun 1,2 dan 3 telah membantu dan memeriahkan lagi acara ‘Grand Recital’, majlis seperti ini mampu melatih pelajar SPS dalam memberikan kerjasama yang kuat dan keseimbangan tugas di antara semua pelajar agar majlis seperti akan lebih meriah, menarik dan berjalan dengan lebih berjaya dan mampu mengeratkan silaturahim antara pelajar SPS serta dari segi persembahan dapat meningkatkan lagi bakat dan kreativiti masing-masing.

Disediakan oleh : Dg Nurfahimah Binti Ag Esa

Thursday, 16 January 2014

Festival Skrin Digital, Ulasan Filem ` Kau Sahabatku, Kau Heroku`

     Pada 18 Disember, Festival Skrin Digital Pelajar Universiti Malaysia Sabah sesi 2013 (Anugerah Pemikiran Sepanggar) telah diadakan dan sebanyak 18 buah filem di pertandingkan. Filem  `Kau Sahabatku, Kau Heroku` merupakan antara filem yang turut mengambil bahagian. 


     Filem pendek yang di hasilkan oleh pelajar kampus Antarabangsa Labuan. Cerita `Kau Sahabatku, Kau Heroku` ini mempertengahkan tentang nilai persahabatan  dan pergorbanan seorang sahabat. Dimana ceritanya bermula apabila timbul konflik diantara tiga orang sahabat iaitu Aiman, Amm, dan Maria. Dalam filem ini Aiman digambarkan seorang pelajar yang mempunyai semangat dalam pelajar namun Aiman juga merupakan seorang yang sombong dan angkuh. Aiman tidak berpuas hati dengan Amm kerana kecerdikan Amm yang sentiasa mendapat pujian dan menjadi orang kepercayaan Prof.Azman. Amm yang menjadi perhatian mula didekati oleh Maria iaitu sahabat Aiman. Keadaan ini menyebabkan Aiman semakin tidak berpuas hati dengan Amm.
     Aiman mula mengatur langkah untuk menjatuhkan Amm. Namun, pada masa yang sama Remy iaitu seorang yang menaruh hati terhadap Maria berasa terancam dengan keakraban Maria dan Aiman. Dengan itu, Remy dan gengnya merancang untuk memberi pengajaran kepada Aiman. Aiman telah dibelasah oleh Remy dan Gengnya, semasa Aiman dibelasah Amm muncul untuk membantu kerana sebelum itu Amm telah mendapat panggilan yang mengatakan Aiman di belasah.
    Selepas kejadian itu Aiman dan Amm mula bersahabat, akan tetapi tanpa disedari Amm mengalami darah beku pada otak akibat dibelasah oleh geng Remy semasa menolong Aiman. Perkara tersebut telah disahkan oleh doktor. Namun, Remy tetap tidak berpuashati dengan Aiman. Remy cuba membunuh Aiman dan kali ini sekali lagi Amm sempat menyelamatkan Aiman dan nyawanya telah menjadi ganti.
    Filem ini banyak memberi pengajaran kepada penonton seperti jauhi sifat iri hati terhadap orang lain kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah. Namun jalan cerita filem ini hampir sama dengan filem lain yang telah ada di pasaran.

Oleh : Syazwani Binti Mohammad

Kitar Semula.

      Baru-baru ini telah diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Dimana UMS bakal membina sebuah pusat kitar semula di dalam kampus, yang akan dibiayai oleh Hatareka Perunding Sdn. Bhd melalui tanggung jawab sosial korporat syarikat tersebut.
     Menurut Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah penubuhan pusat kitar semula adalah hasil kerjasama Universiti Malaysia Sabah dengan syarikat swasta yang bertujuan untuk menerap budaya memelihara alam sekitar. Selain itu, Kerjasama ini turut mendapat sokongan daripada agensi luar.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UMS dan Hatareka Perunding Sdn Bhd berkata “Dengan kerjasama yang dimeterai hari ini, saya percaya UMS mendapat sokongan baik dalam usaha ke arah mencapai EcoCampus, serta memulakan awal tahun ini dengan lebih positif,” katanya
      Pada majlis itu, Datuk Harun mewakili UMS menandatangani MoU tersebut, sambil disaksikan oleh Pendaftar, Datuk Abdullah Mohd Said, manakala Hatareka Perunding Sdn. Bhd diwakili oleh pengarah urusannya, Ir. Hamidon Mohd Ali sambil disaksikan oleh Pengurus Operasi Perniagaan, Rafidah Noordin.
     Melalui kerjasama tersebut, syarikat swasta itu bukan sahaja membiayai pembinaan pusat kitar semula, malah turut mempromosikan kerjasama pelaksanaan program kitar semula, program pembangunan kitar semula dalam kampus, dan menjadi panel penasihat universiti bagi program kitar semula.


Kitar Semula
     Menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 ( Akta 672) kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi menghasilkan keluaran. Kitar semula berlaku apabila bahan-bahan diproses dan menghasilkan produk yang sama. Kitar semula ialah mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber yang bernilai. Sebagai tambahan, ia menjadi sumber kepada alam sekitar, kewangan dan faedah sosial. Bahan-bahan seperti kaca, besi, plastik dan kertas di dan dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baru.

KEPENTINGAN KITAR SEMULA TERHADAP ALAM SEKITAR

     Kitar semula adalah amat penting kerana sisa buangan memberikan kesan negatif yang amat besar kepada alam sekitar semula jadi. Kitar semula dapat membantu mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh sisa pepejal.
     Kitar semula dapat mengurangkan keperluan terhadap bahan mentah, oleh itu sumber asli seperti kayu balak dapat disimpan dan dikekalkan. Keadaan ini mengurangkan pemanasan global dan pemusnahan habitat akibat daripada pemusnahan hutan.
     Tenaga yang besar digunakan apabila membuat produk daripada bahan mentah. Kitar semula hanya memerlukan sedikit tenaga dimana secara tidak langsung dapat membantu dalam mengekalkan pemuliharan dan pemeliharaan alam semula jadi. 
KEPENTINGAN TERHADAP MANUSIA
 
Kitar semula sangat penting kepada bandar di seluruh dunia dan manusia yang hidup di dalamnya.
     Meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan. Selain itu juga, kebanyakkan kawasan tanah di negara kita didapati kurang sesuai untuk membina tapak pelupusan disebabkan sebahagian besar meliputi kawasan tadahan air.
     Mengurangkan belanjawan kewangan. Menghasilkan produk daripada bahan mentah lebih tinggi kosnya berbanding di hasilkan daripada bahan-bahan kitar semula.
     Memelihara sumber alam semula jadi untuk generasi akan datang. Kitar semula mengurangkan penggunaan bahan mentah dan menggunakan sedikit tenaga berbanding pemprosesan bahan dari sumber asli. Oleh itu alam semula jadi dapat dipelihara untuk generasi yang akan datang. 

Oleh : SYAZWANI BINTI MOHAMMAD

TB menular di ums ???

Baru-baru berita berkenaan penyakit yang berjangkit telah menyebabkan seluruh warga Ums sering kali dilanda kebimbangan. Kekhuatiran dalam melakukan kerja dan aktiviti luar menyebabkan ramai mahasiswa dihantui oleh penyakit berjangkit yang dipercayai mula menular di sekitar One Borneo dan sekitar perkarangan Ums. Penyakit Tuberkulosis (TB) yang secara zahirnya kita sedia maklumi bahawa penularan penyakit itu sesuatu yang merunsingkan.

          Antara tanda-tanda awal penyakit ini ialah batuk yang berterusan, kahak berdarah, demam, hilang selera makan, susut berat badan, sakit dada, dan mudah letih. Khabar angin yang menyatakan seorang mahasiswa daripada sebuah sekolah yang berada di Universiti Malaysia Sabah itu dinyatakan  terkena jangkitan tersebut. Hal ini adalah berpunca daripada jangkitan yang dikatakan berpunca daripada shoping kompleks yang berhampiran. Ketakutan daripada tanda-tanda simptom-simptom seperti batuk-batuk dan keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan penyakit ini sentiasa terus diragui tahap penyebarannya. 

         Oleh itu, pihak ums juga telah mengambil isu ini sebagai sesuatu yang amat serius agar tahap kebajikan dan keselamatan para pelajar sentiasa di tahap yang baik. Diharap golongan mahasiswa tidak mudah percaya terhadap khabar angin yang boleh menggugat keselamatan para pelajar khususnya juga kepada golongan para ibubapa yang risau akan nasib anak-anak mereka. Kepada mereka yang merasai tanda-tanda awal penyakit ini, pihak ums mengalu-alukan agar pemeriksaan terhadap yang berkenaan harus segera mendapat rawatan ke Klinik Warga Ums yang sentiasa beroperasi selama 24 jam dan hospital-hospital yang berhampiran.

                                                                                                                  Oleh : Sabran Bin Kibong

Ustaz Don semai ilmu mahasiswa

Pada 21 Disember 2013, pihak Ums telah menganjurkan Majlis Selawat and tour bersama Ustaz Don Daniyal anjuran bersama Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS. Beliau merupakan seorang pendakwah yang unggul dan merupakan seorang pendakwah yang sering mendapat perhatian dalam media cetak dan media elektronik. Pada hari Sabtu, acara bermula sekitar jam 7.30 pagi- 5.30 petang. Pada ketika itu, golongan mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk melibatkan diri dalam majlis tersebut. Majlis yang bertempat di dewan serbaguna Kuliah 15 dan 16 Universiti Malaysia Sabah itu telah memuatkan lebih daripada seribu orang pengunjung yang rata-ratanya golongan mahasiswa.

 Kepetahan Ustaz don dalam mengeluarkan kata-kata menyebabkan semua hadirin yang datang berasa amat teruja. Dalam majlis itu juga, beliau telah menerangkan rahsiah dan kaedah dalam solat. Sebagai seorang muslim adalah penting untuk mengetahui segala amalan wajib haruslah ditunaikan dengan bersungguh-sungguh. Solat adalah tiang agama dan dari situ akan memperbaiki sahsiah yang secara lahiriah akan lahirlah modal insan yang cemerlang. Kesudiaan Ustaz Don dalam memberikan perkongsian terhadap pengunjung telah memberikan satu ilmu amal segar sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Oleh itu, wadah perjuangan sebagai seorang mahsiswa tidak hanya tertumpu kepada jalan pembelajaran saja namun kepada bagaimana seorang mahasiswa itu memikirkan perbezaan ilmu dunia dan ilmu akhirat. 

                                                            Oleh ; Sabran Bin Kibong

The Bloody Night : Filem pendek "thriller" yang menarik

Pada 18hb Disember 2013, Festival Skrin Digital Pelajar Universiti Malaysia Sabah ( FSDPUMS) telah berlangsung dengan jayanya. Festival ini melibatkan pertandingan antara beberapa buah filem pendek yang telah disunting oleh pelajar UMS sendiri yakni pelajar dari UMS Kampus Labuan turut mengambil bahagian dalam festival ini.

     Ternyata filem-filem pendek yang telah dihasilkan oleh pelajar UMS sememangnya samgat berkualiti dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Antara filem pendek yang berjaya menarik tumpuan ramai adalah "The Bloody Night". Filem pendek yang berunsurkan thriller ini amat menarik dan berselitkan elemen saspens. Filem pendek ini dibintangi oleh Callista Nadia dan Wany Samsuddin.

     Cerita ini mengisahkan dua orang sahabat, Mary (Callista Nadia) dan Sasa (Wany) yang sudah lama berkawan sejak kecil lagi dan mereka bekerja sebagai pengedar dadah. Namun, persahabatan itu sendiri telah menjadi tragedi apabila Mary yang tidak pernah merahsiakan apa-apa dari Sasa telah melakukan sesuatu yang membuat Sasa marah kepada dia iaitu menjadi agen persendirian untuk mengedar dadah. Setelah itu, Sasa menyimpan dendam terhadap Mary lalu merancang untuk menculik Mary dengan mengupah seorang lelaki. Selepas Mary diculik, Sasa menyiksa dia dan telah membunuh Mary dengan kejam. Mary telah dikubur hidup-hidup oleh Sasa. Namun, selepas insiden itu berlaku, sebutir peluru telah mengena dan menembusi kepala Sasa lalu dia pun meninggal dunia. Pembunuh itu merupakan orang misteri.

     Filem ini telah diarah oleh pelajar UMS yang diberi nama Ku Za. Pada malam anugerah FSDPUMS ini, "The Bloody Night" telah merangkul satu anugerah iaitu Anugerah Sinematografi Terbaik.





DITULIS OLEH : AIYUB MS
   

Ilmu taman-taman syurga

Baru-baru masjid Universiti Malaysia Sabah telah mengadaka "Program Solat Hajat Imtihan Perdana yang bertujuan bagi memohon pengisian amalan dalam melancarkan persediaan untuk minggu-minggu akhir peperiksaan. Pada 28 disember 2013, Sabtu jam 6 petang-11 malam program telah berlangsung dengan jayanya. Program sebegini sememangnya sering kali diadakan. Namun, pengisian untuk julung kali ini adalah berbeza kerana program seperti forum adalah bentuk penyampaian yang bernas.

          Dalam forum tersebut pihak UMS telah mengundang Nik Mond Adham Naib Juara Imam Muda dan dr Ali Akhbar. Sepanjang program berlangsung segala bentuk cara dan teknik dalam menjawab solan peperiksaan telah dibincangkan. Selain daripada melakukan ulangkaji yang lebih teratur, namun amalan seperti ibadah harian haruslah ditunaikan. Peningkatan mutu kecemerlangan golongan mahasiswa biasanya tidak terletak pada daya pemikirannya tetapi juga kepada nilai amalannya terhadap perintah tuhan. Program yang hanya berlangsung dalam semalam telah mendapat sambutan yang paling hangat daripada seluruh warga ums.

          Bukan itu saja, kunjungan daripada orang ramai turut tidak ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan program ilmu yang disinari sebagai taman-taman syurga.

                                                                Oleh : Sabran Bin Kibong

Wednesday, 15 January 2014

Bajau Sama : Etnik Warisan Sabah

      Masyarakat Bajau Sama merupakan etnik kedua yang terbesar dalam kumpulan etnik yang terdapat di Daerah Sabah. Masyarakat bajau sama dipercayai berasal daripada zaman kesultanan melayu Johor dan tersebar luas ke serata negeri sabah sehingga ke hari ini. Menurut sejarahnya, masyarakat bajau tidak mempunyai sultan dan menjadikan sultan johor sebagai sultan mereka. Sultan Johor  yang memerintah negeri johor yang dikenali sebagai “embo membangan”  dikalangan masyarakat bajau sama telah mengarahkan para datu-datu untuk menyebarkan agama islam di seluruh tanah melayu sehingga menyebabkan masyarakat bajau yang terdiri daripada datu-datu telah dipecahkan kepada beberapa tempat iaitu brunei dan Tambulian, di Kota Belud Sabah. 

      Selain itu, terdapat juga sebahagian lagi diarahkan pergi  ke Sulu dan Indonesia semata-mata untuk menyebarkan agama islam. Dipercayai masyarakat bajau telah berlabuh di daerah Tambulian, kota belud sehingga menyebabkan perluasan populasi masyarakat bajau di seluruh daerah kota belud sehingga ke hari ini menjadi kawasan utama perkembangan etnik bajau sama. Tambulian yang dahulunya kawasan laut dan tempat berlabuhnya kapal-kapal besar yang mengiatkan aktiviti perdagangan yang kini telah berubah menjadi kawasan tempat perkampungan masyarakat bajau sendiri. Pengaruh agama islam yang kuat dalam masyarakat bajau sama menyebabkan masyarakat bajau majoritinya adalah beragama islam dan tersebar ke daerah lain seperti Tuaran, Tenghilan, Pitas, Kunak Putatan, Papar dan sebahagian tempat lain lagi yang masih terdapat etnik bajau sama itu sendiri . Kawasan yang teramai populasi etnik bajau sama adalah Kota Belud dan sekitar daerah Tuaran kerana dikatakan masyarakat bajau sama banyak merantau sehingga menyebabkan masyarakat bajau sehingga ke hari ini menjawat kakitangan kerajaan disamping melibatkan diri dalam kegiatan utama seperti aktiviti kelautan dan menjual ikan di pekan-pekan hasil tangkapan aktiviti kelautan. 

     Menurut pendapat Encik Jefry  Ole, orang bajau juga dikenali sebagai etnik Iranun. Namun, disebabkan orang Iranun tidak mahu diperintah menyebabkan mereka berpecah daripada populasi etnik bajau sama namun sehingga ke hari masih hidup bermasyarakat dengan etnik bajau sama yang masing-masing mempunyai persamaan dari segi bahasa dan adat perkahwinannya. Masyarakat bajau sama sangat kaya dengan adat dan pantang larang dalam majlis perkahwinannya. Adat perkahwinan  masyarakat bajau sama merangkumi beberapa aspek sebelum, semasa dan selepas. Adat-adat seperti merisik, meminang,bertunang dan berkahwin hampir sama yang dilakukan dalam tradisi masyarakat melayu namun dalam budaya masyarakat bajau sama mempunyai kelainan dan keunikan yang tersendirinya.

oleh : Sabran Kibong

Mahasiswa UMS Laksana Aktiviti Kesukarelawan Bersama IM4U

Rabu, 15 Januari - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah bekerjasama dengan 1Malaysia for Youth (IM4U) dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawanan baru-baru ini.

     Aktiviti tersebut yang diketuai oleh oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Fandyi Sanizan Jurup menyaksikan penyertaan 60 orang mahasiswa UMS secara sukarela membersihkan kawasan padang Kota Belud dan mengecat beberapa bangunan sekolah yang terpilih. 


     Ketika diihubungi Fandyi memberitahu, aktiviti itu dilaksanakan bersempena dengan Majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dirasmikan oleh  Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Kota Belud, Dato’ Hj. Abd Rahman Datuk  Hj. Dahlan.
Tambah beliau, program seumpama itu merupakan satu usaha yang baik khususnya dalam mendidik mahasiswa melakukan kerja-kerja kesukarelawanan  serta mendekatkan diri dengan masyarakat.


     “Ia juga sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang tinggi,” ujarnya lagi.

     Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur kerana sentiasa menyokong segala usaha berkaitan membangunkan kemahiran insaniah para mahasiswa.
Mahasiswa UMS sebelum ini telah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan kerjasama  IM4U.


im4u sukarela

DITULIS OLEH : AIYUB MS