Wednesday, 15 January 2014

Bajau Sama : Etnik Warisan Sabah

      Masyarakat Bajau Sama merupakan etnik kedua yang terbesar dalam kumpulan etnik yang terdapat di Daerah Sabah. Masyarakat bajau sama dipercayai berasal daripada zaman kesultanan melayu Johor dan tersebar luas ke serata negeri sabah sehingga ke hari ini. Menurut sejarahnya, masyarakat bajau tidak mempunyai sultan dan menjadikan sultan johor sebagai sultan mereka. Sultan Johor  yang memerintah negeri johor yang dikenali sebagai “embo membangan”  dikalangan masyarakat bajau sama telah mengarahkan para datu-datu untuk menyebarkan agama islam di seluruh tanah melayu sehingga menyebabkan masyarakat bajau yang terdiri daripada datu-datu telah dipecahkan kepada beberapa tempat iaitu brunei dan Tambulian, di Kota Belud Sabah. 

      Selain itu, terdapat juga sebahagian lagi diarahkan pergi  ke Sulu dan Indonesia semata-mata untuk menyebarkan agama islam. Dipercayai masyarakat bajau telah berlabuh di daerah Tambulian, kota belud sehingga menyebabkan perluasan populasi masyarakat bajau di seluruh daerah kota belud sehingga ke hari ini menjadi kawasan utama perkembangan etnik bajau sama. Tambulian yang dahulunya kawasan laut dan tempat berlabuhnya kapal-kapal besar yang mengiatkan aktiviti perdagangan yang kini telah berubah menjadi kawasan tempat perkampungan masyarakat bajau sendiri. Pengaruh agama islam yang kuat dalam masyarakat bajau sama menyebabkan masyarakat bajau majoritinya adalah beragama islam dan tersebar ke daerah lain seperti Tuaran, Tenghilan, Pitas, Kunak Putatan, Papar dan sebahagian tempat lain lagi yang masih terdapat etnik bajau sama itu sendiri . Kawasan yang teramai populasi etnik bajau sama adalah Kota Belud dan sekitar daerah Tuaran kerana dikatakan masyarakat bajau sama banyak merantau sehingga menyebabkan masyarakat bajau sehingga ke hari ini menjawat kakitangan kerajaan disamping melibatkan diri dalam kegiatan utama seperti aktiviti kelautan dan menjual ikan di pekan-pekan hasil tangkapan aktiviti kelautan. 

     Menurut pendapat Encik Jefry  Ole, orang bajau juga dikenali sebagai etnik Iranun. Namun, disebabkan orang Iranun tidak mahu diperintah menyebabkan mereka berpecah daripada populasi etnik bajau sama namun sehingga ke hari masih hidup bermasyarakat dengan etnik bajau sama yang masing-masing mempunyai persamaan dari segi bahasa dan adat perkahwinannya. Masyarakat bajau sama sangat kaya dengan adat dan pantang larang dalam majlis perkahwinannya. Adat perkahwinan  masyarakat bajau sama merangkumi beberapa aspek sebelum, semasa dan selepas. Adat-adat seperti merisik, meminang,bertunang dan berkahwin hampir sama yang dilakukan dalam tradisi masyarakat melayu namun dalam budaya masyarakat bajau sama mempunyai kelainan dan keunikan yang tersendirinya.

oleh : Sabran Kibong

No comments:

Post a Comment