Monsopiad Cultural Village : Anugerah Terindah Bawah Bayu
Kampung
Kebudayaan Monsopiad ialah kampung yang dibina dengan tujuan memperingati
kegagahan pahlawan Kadazan dan pemburu-pemburu kepala Monsopiad. Kampung ini
dibina pada 1 Mei 1996, dan kampung tradisi ini dibina diatas tapak bersejarah
iaitu tanah yang diduduki Monsopiad sejak tiga abad yang lalu. Kampung ini
dijadikan Kampung Kebudayaan Monsopiad kerana pada zaman lampau, iaitu zaman
pemburuan kepala dan pemujaan roh serta pemerintahan Bobohizan. Ketika itu
terdapat paderi perempuan tersuci di kalangan orang KadazanDusun. Beliau
memerintah kampung-kampung dan juga menjaga kesihatan fizikal dan jiwa
rakyatnya. Manakala, Kampung ini ketika
itu dikendalikan oleh orang keturunan Monsopiad. Sepanjang hidup Monsopiad, dia
memburu 42 biji tengkorak musuhnya sebagai bukti kegagahannya dan
tengorak-tengorak hasil buruannya dijaga dengan baik oleh anak cucunya yang
memegang kuat dengan adat tradisi Kadazan. Oleh itu, konsep penubuhan Kampung
Kebudayaan Monsopiad adalah untuk tujuan penyelidikan, dokumentari, pemeliharaan
kebudayaan kuno, dan mengekalkan tradisi kehidupan orang-orang KadazanDusun.
Lebih kurang 300 tahun yang lalu, masyarakat
kadazandusun di kampung Kuai Kandazon, Penampang tinggal di rumah panjang.
Sungai Moyog merupakan satu-satunya jalan utama perhubungan menuju ke arah
Petagas dan ke arah Donggongon. Mereka mengunakan sungai sebagai jalan utama
untuk mengambil hasil hutan dan menjual beli barangan antara mereka secara
`barter trade’. Jika tidak menaiki sampan atau berakit, mereka berjalan kaki
meredah hutan menuju ke tempat yang ditujui. Pada masa itu, kampung ini sering
didatangi oleh perompak-perompak. Perompak-perompak ini mencuri hasil pertanian
dan ternakan mereka. Keadaan ini menjadi ancaman kepada penduduk-penduduk
disitu. Mereka sentiasa dalam ketakutan dan tidak berani berjalan seorang diri
ke dalam hutan dan mengerjakan pertanian mereka. Bermula daripada peristiwa
itu, seorang lelaki yang bernama Monsopiad telah membunuh dan memenggal
kepala-kepala perompak itu dan mempamerkannya sebagai satu amaran kepada
perompak-perompak lain agar tidak datang ke kampung mereka. Monsopiad berjaya
memenggal 42 kepala manusia sepanjang riwayatnya termasuklah pencabar-pencabar
Monsopiad yang tinggal di daerah Penampang. Dikatakan Monsopiad telah mengukir
tanda pangkah bagi setiap kepala perompak yang berjaya dipenggal pada sebuah
batu . Batu ini akhirnya dijadikan sebagai batu nisan Monsopiad selepas dia
meninggal.
Sejarah bermula apabila Kizabon melahirkan seorang
anak lelaki iaitu hasil perkahwinannya dengan Dunggou iaitu suaminya. Mereka
tinggal di sebuah rumah panjang di kampung Kuai Kandazon, Penampang sejak 300
tahun yang lalu. Peristiwa bermula apabila Kizabon dan Dunggou terdengar bunyi
seekor `Bugang ’ diatas bumbung rumah mereka ketika Kizabon sedang melahirkan
anak. Dunggou menganggap kejadian itu terlalu istimewa lalu dia memanjat
bumbung rumah panjang itu. Disitu dia ternampak satu sarang Bugang. Di dalam
sarang itu, terdapat sebiji telur Bugang yang turut menetas. Tetapi Bugang
tidak berada disitu lagi. Yang tinggal hanyalah pecahan kulit telur. Dunggou
menganggap kejadian itu sebagai satu petanda yang baik dan percaya bahawa anak
lelakinya yang baru dilahirkan itu adalah anak yang perkasa. Lalu Dunggou
mengambil pecahan telur itu dan merendamkan ke dalam mandian anaknya. Perkara
ini sentiasa dilakukan oleh Dunggou sehinggalah anaknya membesar. Dunggou
menamakan anaknya sebagai Monsopiad.
Setelah
dewasa, Monsopiad diajar oleh datuknya dalam seni mempertahankan diri.
Monsopiad dikatakan seorang yang tampan dan segak serta berambut panjang.
Ketinggiannya adalah sederhana sahaja. Ketampanan dan susuk badan Monsopiad
menyebabkan ramai gadis-gadis berminat berkahwin dengannya. Monsopiad juga
selalu berlatih dengan menggunakan pedang yang diberikan oleh datuknya.
Disamping berlatih menggunakan pedang, Monsopiad gemar melompat sungai-sungai
dan parit-parit. Lompatannya ini dikatakan sangat luarbiasa.
Pada
satu hari, lebih kurang 40 orang gadis meminta Monsopiad menemani mereka pergi
ke sawah padi untuk `menabas ’. Setibanya di sawah padi, mereka mendapati
padi-padi mereka sudah di curi. Mereka sangat kecewa kerana selama ini mereka
bertungkus lumus mengerjakan sawah padi tetapi hasilnya tidak banyak kerana di
curi. Monsopiad memberitahu gadis-gadis itu bersabar dan terus mengerjakan
sawah padi mereka seperti biasa dan tunggu semusim lagi. Semusim telah berlalu,
sekali lagi perompak-perompak itu mencuri hasil pertanian mereka. Gadis-gadis
itu sangat marah lalu mencabar Monsopiad agar memenggal kepala perompak-perompak
itu jika dia seorang lelaki. Mereka berjanji akan melantik Monsopiad sebagai
`Huguan Siou’ dan segala apa yang dia cakap, penduduk disitu akan menurutinya.
Monsopiad pun bersetuju dengan syarat, jika dia berjaya memenggal kepala-kepala
perompak itu, dia mahu satu penghormatan khas diadakan iaitu Monsopiad harus
digendong dan satu jamuan makan secara besar-besaran diadakan dan semua orang
harus berkumpul untuk menyambut kepulangannya. Gadis-gadis itu meminta apakah
petanda Monsopiad berjaya membawa balik kepala perompak-perompak itu. Monsopiad
mengatakan, dia akan menjerit `Kiii...hii... ’ sambil membunyikan `tobui ’.
Keesokkan harinya, Monsopiad menggalas sebuah `gozong ’ yang berisi makanan dan
membawa sebilah pedang lalu beredar dari rumah panjang untuk mencari
perompak-perompak. Seperti yang dijanjikan oleh Monsopiad, dia telah berjaya
memenggal beberapa kepala perompak-perompak dengan menggunakan pedang.
Kepala-kepala perompak itu dimasukkan ke dalam `gozong’ nya lalu balik ke rumah
panjang. Monsopiad telah disambut secara penuh tradisi sebagai seorang `Huguan
Siou’ oleh golongan `bobohizan ’ dan penduduk kampung. Perkara ini berterusan
sehinggalah keadaan menjadi aman di kampung mereka. Kepala-kepala yang
dipenggal diletakkan diatas `bangkahak’ untuk dikeringkan kemudian dicampurkan
dengan `hizad ’. Selepas itu, tidak ada lagi kedengaran perompak-perompak
datang ke kampung mereka untuk mencuri ternakan dan pertanian. Walau
bagaimanapun, beberapa orang yang tinggal di kawasan penampang merasa tidak
senang hati dengan kehandalan Monsopiad. Mereka ialah Gantang , Manggung dan
Sangkad . Mereka terasa tercabar dan mahu berlawan dengan Monsopiad bagi
menunjukkan siapa yang handal di seluruh daerah Penampang. Malangnya pencabar
ini semuanya berjaya ditewaskan oleh Monsopiad dan seterusnya memenggal
kepala-kepala mereka.
Pada
suatu malam, semasa Monsopiad tertidur kerana mabuk meminum tapai di rumah
kediamannya, Monsopiad telah di serang oleh sekumpulan orang yang tidak
dikenali yang mahu membunuh Monsopiad dengan menggunakan parang. Penyerang
gagal membunuh Monsopiad kerana Monsopiad dikatakan kebal. Pada malam itu,
Monsopiad berjaya menewaskan beberapa penyerangnya dengan hanya menggunakan
penumbuk. Walau bagaimanapun, daripada serangan itu, Monsopiad telah tertumbuk
dinding rumah yang diperbuat daripada bambu kerana penyerangnya berjaya
mengelak. Ini menyebabkan tangan Monsopiad terluka terkena bambu. Melihat
keadaan itu, Monsopiad melompat keatas bumbung rumah lalu melarikan diri dan
bersembunyi ke dalam hutan. Selepas kejadian itu, Monsopiad menderita kesakitan
dan luka itu tidak dapat disembuhkan. Monsopiad akhirnya meninggal dan
dikuburkan diatas bukit di kampung Kuai Kandazon, Penampang oleh
penduduk-penduduk kampung. Batu yang di ukir oleh Monsopiad kemudiannya
diletakkan diatas kuburan Monsopiad. Kuburan ini masih kelihatan sehingga
sekarang.
Monsopiad
Cultural Village atau juga dikenali sebagai Kampung Kebudayaan Monsopiad
mempunyai beberapa tempat yang menarik di dalamnya, antaranya seperti rumah
Posignsiman iaitu dikenali sebagai tempat kaunter pendaftaran sebelum masuk ke
dalam kampung tersebut. Terdapat juga tempat seperti Gintuhun Do MoHoing,
tempat ini terdapat buluh yang dipacakkan sekeliling batu, tempat untuk
meletakkan kepala yang dipenggal oleh Monsopiad, kepala di biarkan kering yang
tinggal hanya tengkorak,tengkorak yang kering di gantung di alang rumah iaitu
Rumah Tengkorak. Selain itu, Terdapat Siou Do Mohoing atau lebih dikenali
sebagai Rumah Tengkorak yang menempatkan 42 ‘trofi’ milik Monsopiad
bergantungan di Kasau, terdapat juga tengkorak original yang berbentuk muka
orang utan.
Selain
itu, terdapat Tangkob atau tempat pengumpulan Padi. Kotos di Monsopiad atau Rumah Utama Monsopiad
juga dibina khusus untuk memperingati Monsopiad dan keturunannya. Turut
dipamerkan ialah tembikar, mesin padi, peralatan buluh dan juga busana
Bobohizan Inai Bianti, iaitu keturunan terdekat Monsopiad dan seorang ketua
adat yang amat dihormati suatu ketika dahulu. Tambahan pula, pameran lain yang
tidak kurang hebat dan sangat menarik ialah Monolit agam yang merujuk kepada
pelbagai lagenda serta terdapat restoran tradisional.
Minuman
menyambut tetamu juga diadakan, minumannya merupakan ‘Tapai’ iaitu sejenis
minunam arak beras akan dihidangkan setelah pelawat sampai di sana. Malahan, di
kampung Kebudayaan Monsopiad terdapat tempat memproses tuak atau arak buatan
sendiri, terdapat bahan-bahan mentah dan peralatan tradisional di dapurnya
untuk menghasilkan arak. Di sana juga terdapat tempat penghasilan sagu, mereka
juga memelihara Ulat sagu, bagi yang ingin memakan ulat tersebut mestilah
memutuskan kepalanya terlebih dahulu, ulat di letakkan diatas papan yang
terdapat paku yang sudah di pacakkan.
Terdapat
juga tempat khas unutk menjalankan aktiviti menyumpit ke arah buah yang
bergantungan. Di Kawasan kampung kebudayaan Monsopiad ini juga kita dapat
melihat rumah panjang, cara menuai padi dan jambatan bergantung. Selain itu,
Komuniti tempatan juga akan mempersembahkan tarian kebudayaan, pentas
persembahan dikawasan itu sangat selesa kerana anginnya terasa bertiup kencang,
para tetamu juga boleh mengambil bahagian dalam tarian tersebut.
Oleh yang
demikian, Monsopiad Cultural Village ini juga telah menjadi tumpuan para
pelancong yakni para pelancong sangat tertarik dengan budaya serta unsur budaya yang dipamerkan di dalam kampung warisan itu.
Gambar : Kampung Kebudayaan Monsopiad
Alamat : Monsopiad Cultural Village Sdn Bhd
Kg.Kuai/Kandazon Penampang
Peti Surat 153 Tanjung Aru
89458 Kota Kinabalu
Sabah Malaysia.
Artikel by : Muhammad Ayub Bin Muhd Suratan
Syazwani Binti Mohammad
Dg Siti Rahmah Binti Rabaha
Sabran Bin Kibong
Dg Nurfahimah Binti Ag Esa
No comments:
Post a Comment