Demam? kini, para siswa dan siswi Universiti Malaysia Sabah dilanda demam peperiksaan akhir. Ramai antara siswa dan siswi sibuk mencari penawar bagi demam tersebut dengan mengulangkaji dan menelaah pelajaran dari pagi sehingga lewat malam. Peperiksaan akhir semester atau lebih dikenali sebagai “final exam” dalam kalangan siswa dan siswi merupakan penanda aras bagi semua pelajar untuk mengetahui sejauh mana hasil pembelajaran mereka selama ini membuahkan hasil. Pembelajaran yang bersifat teori mahupun praktikal selama empat belas minggu selama satu semester akan diaplikasikan semasa menjawab kertas-kertas peperiksaan oleh para pelajar. Pembelajaran selama satu semester ini banyak membantu para pelajar untuk mempersediakan diri mereka menghadapi peperiksaan akhir tersebut.
Peperiksaan akhir merupakan sesuatu
yang amat mendebarkan, mencemaskan dan menakutkan bagi sesetengah pelajar yang
belum bersedia untuk berdepan dengan peperiksaan tersebut. Terdapat sesetengah
pelajar yang lebih gemar untuk mentelaah dan mengulangkaji pelajaran di
saat-saat akhir manakala terdapat juga pelajar yang lebih selesa untuk belajar
lebih awal agar mereka sentiasa tenang dan bersedia menghadapi peperiksaan
akhir.
Kini, undang-undang semasa peperiksaan
akhir telah diperketatkan oleh pihak universiti. Para pelajar dilarang sama
sekali untuk meniru di dalam peperiksaan. Di kawasan sekitar dewan peperiksaan
telah disediakan beberapa orang pengawas peperiksaan untuk memantau dan
memastikan bahawa tidak terdapat sebarang buku atau nota disembunyikan oleh
para pelajar, malahan pengawas peperiksaan juga diarah untuk memantau kawasan
sekitar tandas agar aktiviti peniruaan tidak berlaku.
Selain daripada undang-undang yang
telah diperketatkan oleh pihak universiti, terdapat juga peraturan-peraturan
yang wajib dipatuhi oleh para pelajar semasa memasuki dewan peperiksaan iaitu
para pelajar diwajibkan untuk memakai pakaian yang formal dan sopan, membawa
kad pengenalan dan kad matrik pelajar, membawa slip peperiksaan bersama dan sebarang
peralatan elektronik seperti telefon bimbit adalah dilarang dibawa masuk ke
dalam dewan peperiksaan.
BY
: DAYANG SITI RAHMAH / SEKOLAH PENGAJIAN SENI
No comments:
Post a Comment