Tuesday, 14 January 2014

Integriti?




     Integriti? Apakah integriti? Persoalan tentang integriti  sering menjadi topik pembincangan dalam kalangan masyarakat tidak kira pekerja di sektor awam atau sektor swasta dan di pelbagai organisasi lain lagi. Integriti menurut Kamus Dewan Bahasa bermaksud kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Secara umumnya integriti ialah peribadi mulia yang terdapat pada individu meliputi nilai-nilai amanah, jujur, ikhlas, sabar, tidak rasuah, berlapang dada, telus, bertanggungjawab dan ciri-ciri positif yang lain.
     Selain itu, integriti terbahagi kepada dua bahagian iaitu individu dan organisasi. Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Manakala, di peringkat organisasi pula menerusi perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
     Menyedari kepentingan integriti dalam kalangan masyarakat, kerajaan telah menubuhkan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pelan ini bertujuan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti dalam kalangan semua lapisan masyarakat. PIN telah dilancarkan pada 23 April 2004, oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.
     Bagi menyahut seruan kerajaan ini, Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah (SPRUMS) telah menganjurkan satu program iaitu Program Buka Minda, Buka Mata, Buka Hati bertujuan membentuk generasi muda yang mampu menolak amalan rasuah dalam usaha membenteras dan mencegah rasuah dalam kalangan masyarakat negara ini.
     Program Buka Minda, Buka Mata, Buka Hati yang dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan NKRA Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri sabah, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 16 Disember 2013.
      Semasa merasmikan penutupan program tersebut di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. Major DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata bahawa  program tersebut mampu melahirkan siswa-siswi yang bertanggungjawab dalam membantu pihak SPRM bagi menangani rasuah sekaligus dapat membentuk hubungan sosial yang mantap di antara warga kampus dengan masyarakat luar. Selain itu beliau berharap siswa-siswi dapat menjadi modal insan yang berkualiti dari segi nilai integriti, disiplin yang kuat, semangat yang kental dan berperibadi yang utuh dengan ditunjangi oleh asas pegangan yang kuat sebagai peneraju masa depan yang cemerlang. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai.
     Program sehari itu yang berkonsepkan sukan dan rekreasi tersebut mendapat sambutan baik daripada 200 orang peserta institut pengajian tinggi (IPT) iaitu penyertaan siswa-siswi daripada UMS, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, Cosmopoint dan Kolej Eastern Kota Kinabalu di harapkan program ini dapat membantu menerapkan nilai integriti dalam diri masyarakat.




Oleh :  SYAZWANI BINTI MOHAMMAD.

No comments:

Post a Comment