Thursday, 21 November 2013

Larian Konvo UMS 2013



Larian Konvo Sempena Majlis Konvokesyen UMS 2013.

Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 21 November hingga 25 November 2013, UMS dan Majlis Kepimpinan Pelajar (MPP) telah menganjurkan Larian Konvo UMS dengan kerjasama Pelajar Pengurusan Sains Sukan Tahun 2 dan Tahun 3 pada 17 November 2013 sempena pengisian Tamu Gadang 2013 yang bermula 21 November ini.
     Acara ini bermula dari Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan berakhir di Pusat Kegiatan Luar (ODEC) UMS. Jarak larian konvo UMS ini sejauh 7 kilometer dan terdapat seramai 240 peserta mengambil bahagian. Acara larian ini dibahagikan kepada empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, kategori Sekolah Terbuka Lelaki dan Sekolah Terbuka Wanita. Johan bagi kedua-dua kategori akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM150, medal dan hamper. Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing menerima RM100 dan RM50 berserta medal dan hamper. 
     Semasa acara ini berlangsung peserta larian telah dilepaskan mengikut kategori yang dipertandingkan. Pada akhir acara Larian Konvo UMS penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin. Dimana, Pemenang Pertandingan Larian Konvo bagi kategori Terbuka Lelaki telah dimenangi oleh Ruston Masri dengan mengetepikan pesaing terdekatnya, Frederic Herman di tempat kedua. Dan tempat ketiga dimiliki oleh Louis Muslin. Manakala, Kategori Terbuka Wanita pula telah dimenangi oleh Emily Singan  untuk dinobatkan sebagai juara sekali gus mengenepikan pesaingnya Chong Vun Lung yang memenangi tempat kedua pertandingan dan  Dora Suan menyandang tempat ketiga bagi kategori terbuka wanita.
      Selain itu, bagi kategori Sekolah Terbuka Lelaki pula dimenangi oleh Jusli Jaiban dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) sekaligus muncul juara, disusuli Kenson Rubanjan dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS) di tempat kedua. Manakala tempat ketiga juga dimiliki pelajar SPKS, Samzah Lawis. Bagi kategori Sekolah Terbuka Wanita pula menyaksikan pelajar SPKS sekali lagi mendominasi acara tersebut apabila pelajarnya, Hau Sui Chee dinobatkan sebagai juara bagi kategori berkenaan. Naib johan disandang pelajar Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa (SPTA), Au Hwi Ji dan tempat ketiga dimenangi oleh Wan Huzida Roza Husin dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE).
      Atas kejuaraan yang diperoleh dalam kategori Sekolah Terbuka Lelaki sekali gus memboleh SPPS turut membawa pulang Piala Pusingan Larian Konvo 2013 dan selepas Majlis Penyampaian hadiah, Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur telah Merasmikan Majlis perasmian Larian Konvo UMS  bagi tahun ini.

Oleh : Syazwani Binti Mohammad

Sunday, 17 November 2013

RASISME : Pelajar universiti adalah antara penyumbangnya ...

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kumpulan etnik yang pelbagai. Hal ini membuatkan Malaysia merupakan salah satu negara yang unik kerana masyarakatnya hidup di dalam keadaan yang berbeza kaum serta agama. Namun di sebalik kelebihan itu, terdapat “penyakit” kronik yang telah lama bersarang di dalam kalangan kaum di negara ini iaitu rasisme.

      Memang tidak dapat dinafikan bahawa rasisme itu telah lama wujud dan ia bukanlah isu yang baharu. Namun perkara ini amat mengecewakan apabila terdapat pelajar universiti yang rasis terhadap kaum lain. Seharusnya, sebagai pelajar universiti, rasisme itu hendaklah dikikis kerana ia sangat tidak baik untuk keharmonian negara malah ia dapat memecahbelahkan suatu kaum itu sesama sendiri.

     Rasisme ini amat ketara apabila berada di dalam dewan kuliah yakni pelajar duduk bersama pelajar yang sesuku dengan mereka sahaja. Sebagai contohnya, kaum Cina dengan kaum Cina dan kaum Melayu dengan Melayu. Selain itu, rasisme ini juga kita boleh nampak dalam tugasan berkumpulan di mana pelajar hanya ingin berkumpulan dengan pelajar yang sama kaum dengan mereka. Terdapat juga pelajar yang menghina serta memandang rendah sebuah kaum itu. Hal ini amat meruncing dan seharusnya tidak dibiarkan kerana masalah ini akan membuat matlamat Satu Malaysia tidak dapat tercapai.

     Apa yang paling mengecewakan ialah apabila rasisme ini ditunjukkan melalui perlakuan vandalisme seperti contengan di suatu tempat yang berbau rasis. Hal ini banyak berlaku di dalam universiti dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut terkena tempiasnya. Terdapat contengan yang berintikan rasis di kawasan tertentu seperti di dalam bilik air. Pelajar menulis sesuatu pernyataan yang tidak baik terhadap sebuah kaum itu dan ianya sangat rasis. Hal ini sangat tidak baik kerana ia dapat menimbulkan permusuhan di antara kaum yang terlibat. Pelajar seharusnya berfkir seperti seorang pelajar universiti yang sebenar iaitu positif dan tidak rasis terhadap suatu kaum.


     Sesungguhnya, rasisme ini haruslah dibuang dari diri seseorang itu kerana ia sememangnya tidak memberi manfaat kepada kita, malah ia akan mendatangkan masalah kepada diri, masyarakat dan negara. Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa, rasisme itu hendaklah di buang jauh-jauh supaya kita boleh menjadi mahasiswa yang cemerlang tanpa rasis terhadap sesebuah kaum.



DITULIS OLEH : AIYUB MS

Pelajar universiti wajar diberi pendedahan dengan aktiviti kemasyarakatan

Pada 16 November 2013 bersamaan hari sabtu, sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan aktiviti kemasyarakatan “Seeing Inside Kampung Pukak Kiulu” bertempat di Kampung Pukak Kiulu, Tamparuli. Aktiviti ini sebenarnya diadakan oleh pelajar UMS yang mengambil unit beruniform Kepimpinan dan Motivasi (BAKTISISWA). Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh mereka sendiri dan penyelarasnya merupakan pensyarah kursus itu sendiri iaitu Cik Jacqueline Atat.
     Program yang telah diarah oleh Cik Tan Saw Yen ini mempunyai banyak pengisian atau pun aktiviti yang cukup unik dan menarik. Antaranya ialah, “Knock and Smile”. Aktiviti ini merupakan aktiviti yang sangat mulia dan bertujuan untuk berjasa kepada masyarakat di Kampung Pukak Kiulu. Untuk aktiviti ini, 8 buah rumah telah dipilih dan yang pastinya penghuni rumah itu adalah golongan yang agak susah serta memerlukan bantuan. Sumbangan yang telah diberikan adalah berupa barangan perbelanjaan rumah seperti beras, gula dan banyak lagi. Menurut Encik Maidin,48 tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), dia sangat berterima kasih kepada pihak BAKTISISWA kerana telah memberi  sumbangan sebegitu rupa dan ia sedikit dapat  meringankan beban perbelanjaan rumah mereka. Selain itu, dalam aktiviti ini juga peserta program ini dikehendaki untuk mengupas kisah hidup orang-orang yang telah dilawat.  Ternyata terdapat di antara mereka yang mempunyai kisah hidup yang menyayat hati. Hal itu cukup menyentuh hati para peserta program itu.

     Di samping itu, program ini juga turut tidak melupakan golongan kanak-kanak dengan mengadakan sukaneka yang meyeronokkan. Antara sukaneka itu adalah “Passing The Ballon” dan “Spongebob Wetpants”. Aktiviti-aktiviti ini cukup menggembirakan kanak-kanak di sana dan jelas terukir senyuman di bibir mereka. Bukan sahaja itu, pertandingan mewarna dan “Fashion Show” juga telah diadakan. Apa yang menarik tentang pertandingan “Fashion Show” itu adalah setiap peserta mesti menghasilkan baju yang diperbuat dari bahan kitar semula iaitu surat khabar lama. Ternyata acara itu sangat meriah serta menunjukkan kreativiti penduduk Kampung Kiulu. Adat bertunang ada cincinnya, adat bertanding ada hadiahnya, pemenang bagi setiap pertandingan itu telah diberikan hadiah.

FOKUS... Para peserta fokus mewarna bagi mendapat hasil yang terbaik
     Dalam pada itu, JKK Kampung Pukak Kiulu, En. Dhuin Sinour berbesar hati menyambut kedatangan pelajar UMS dan dia amat berbangga kerana memilih kampung itu sebagai lokasi pilihan untuk berbakti terhadap masyarakat di sana. Dia juga turut mengalu-alukan pelajar UMS untuk memilih kampung itu lagi sebagai destinasi pilihan. Menurut salah satu peserta program itu iaitu Mohd Aiyub, dia cukup gembira kerana dapat berbakti terhadap masyarakat kampung itu di samping berkongsi kegembiraan bersama penduduk di sana menerusi aktiviti yang telah dipraktikkan. Tambah beliau, pelajar universiti seperti dia sendiri wajar di beri pendedahan tentang kemasyarakatan serta kepimpinan agar dapat membentuk pelajar yang bukan sekadar kelas pertama dalam akademik malah kelas pertama dalam kepimpinan dan kemasyarakatan.
COMEL... Pertandingan "Fashion Show" yang bertemakan kitar semula

     Oleh yang demikian, program "Seeing Inside Kampung Pukak Kiulu" ini sangat memberi makna kepada penduduk di sana dan juga semua peserta program itu. Justeru, aktiviti sebegini seharusnya diperbanyakkan lagi agar dapat melahirkan mahasiswa yang holistik yakni mahir dalam pelbagai bidang atau aspek seperti kepimpinan dan kemasyarakatan.

SERONOK... Para peserta program sempat lagi mengamati keindahan alam di Kampung Pukak Kiulu



DITULIS OLEH : AIYUB MS



UMS SEJATI 2013 "SEERAT KASIH"

“Seerat Kasih

   Pada 16 november 2013, bersamaan pada hari sabtu, saya dan rakan-rakan UMS SEJATI PARAMEDIK 1, telah  menjalankan program UMS SPRINT 2013, di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Likas, Sabah. Program ini diberi nama “Seerat Kasih”.

    Kami telah menjalankan program ini di Wad Melur 2, iaitu di bahagian Wad kanak-kanak. Sebaik sahaja sampai di sana, saya melihat kehidupan yang di alami kanak-kanak di wad tersebut, betapa bersyukurnya saya dapat mengenali kanak-kanak seperti mereka yang mampu berjuang bertahan hidup dengan penyakit yang mereka hidapi.

   Kami juga telah menjalankan aktiviti mewarna dan bermain puzzle, sambil melayani mereka mewarna dan memberi tunjuk ajar kepada mereka, sambil itu juga kami mengenali mereka lebih dekat, beramah mesra, bertanya nama dan sebagainya. Apa yang saya kagumi ketika itu, kanak-kanak ini tetap gigih dan cekal untuk belajar dan bermain, walaupun dengan keadaan kesihatan yang membimbangkan. Setelah selesai aktiviti mewarna dan bermain puzzle, pihak kami pun memberi hadiah kepada mereka.

    Sebagai seorang pelajar, saya amat bersyukur dan gembira mengikuti aktiviti “seerat Kasih”, kerana aktiviti ini telah memberikan saya satu gambaran yang positif, di mana mengajar saya lebih banyak berfikir dan bersyukur kerana dapat mengenali mereka dan menjadikan saya seorang yang berdaya saing, bertanggungjawab serta menjadi pelajar yang lebih prihatin terhadap masyarakat serta dapat mengeratkan lagi hubungan silturahim di kalangan mereka. Tambahan pula, Kita hidup di dunia ini, bukan hanya untuk menyayangi keluarga, apatah lagi kekasih hati kerana kanak-kanak seperti mereka juga memerlukan kasih sayang , sokongan, cinta dan bantuan daripada masyarakat seperti kita.


   Oleh itu, kita sebagai masyarakat mahupun pelajar perlulah prihatin terhadap masyarakat sekeliling kita, dengan menjalankan dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berguna seperti “seerat kasih” ini, malahan masa lapang kita tidak terbuang begitu saja. Dengan mengikuti aktiviti seperti ini, kita dapat mengurangkan beban mereka dan berkongsi kegembiraan bersama mereka serta kita dapat memperoleh banyak manfaat yang berguna.

                                                               
                                            Disediakan oleh : Dg Nurfahimah Binti Ag Esa
                           

Monday, 11 November 2013

Khazanah yang tak ternilai buat UMS


Selain terkenal dengan keindahan bangunan Dewan Canselor, Masjid UMS, Eco Campus, kecantikan persekitarannya dan bangunan yang lain, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga terkenal dengan keindahan pantainya iaitu, Pantai ODEC UMS.
     Seperti yang kita sedia maklum bahawa UMS merupakan antara universiti yang tercantik bukan setakat di Malaysia namun di peringkat Asia Tenggara juga. Oleh itu, keindahan Pantai ODEC sememangnya merupakan salah satu pendorong atau pun faktor yang menyebabkan UMS merupakan universiti yang cantik lagi harmoni. 
     Mengapa diberi nama Pantai ODEC? Hal ini kerana pantai itu terletak di Outdoor Development Centre (ODEC). Pendek kata, ia disesuaikan dengan nama tempat ia berada dan juga kerana ia adalah tempat melakukan aktiviti luar. Sesungguhnya, UMS amat menitikberatkan sifat semulajadi alam sekitar dan ia telah mengekalkan keaslian alam dengan menjaga kebersihan Pantai ODEC, menanam pokok-pokok kehijauan di persekitaran kampus dan juga kolej kediaman serta menitikberatkan kebersihan seluruh kawasan di universiti.
    Lazimnya, Pantai ODEC ini banyak digunakan untuk aktiviti di universiti seperti untuk tempat latihan para atlet yang menceburkan diri dalam bidang sukan Kayak, Kenu dan banyak lagi yang berkaitan dengan sukan air. Selain itu, aktiviti kokurikulum bagi sukan Kenu juga sering dilakukan di pantai ini. Bukan sahaja sukan Kenu, aktiviti kawad untuk unit kokurikulum seperti Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) juga dilakukan di pantai yang indah ini. Sebagai contohnya, unit SISPA telah melakukan kawad kaki sempena Kursus PTB Kor-SISPA UMS 2013 pada 05 hingga 08 November tahun ini. Di samping itu, pantai ini juga sering dijadikan tempat untuk majlis “Family Day” sesebuah persatuan atau sekolah (fakulti). 
    Keindahan itu selalunya di sukai oleh orang ramai, begitulah pantai ODEC ini yang sering menerima kunjungan dari pelajar UMS sendiri. Mereka sering ke pantai untuk bermandi-manda, bersenam dan ada juga yang membuat majlis untuk sambutan harijadi dan majlis “barbeque”. Selain itu juga, orang luar juga sering ke Pantai ODEC ini untuk melakukan hal yang sama dengan apa yang dilakukan oleh mahasiswa UMS. Kebanyakan orang sangat gemar menatap keindahan matahari terbenam di Pantai ODEC.
    Oleh yang demikian, Pantai ODEC ini amat sinonim dengan keindahan UMS dan ia merupakan khazanah yang tak ternilai bagi UMS. Justeru, khazanah yang satu ini hendaklah dipelihara daripada pencemaran ataupun kemusnahan supaya kita terus dapat menikmati anugerah Tuhan Yang Esa ini.


Pantai ODEC UMS
Ditulis oleh : AIYUB MS

Tuesday, 5 November 2013

Sajak : Sinar Si Matahari

Sinar Si Matahari

Dia datang di pagi hari
Dia kembali saat senja menjelma
Dia memancar di seluruh muka bumi
Dia menyinari seluruh isi alam

Datang sebagai suria pada kembang pagi
Dan kembali sebagai senja pada kembang petang
Dia muncul penuh keindahan
Tanpanya gelaplah dunia
Tiadalah sinar pada seluruh makhluk
Dialah matahari ,dialah sang suria yang bersinar mesra.

Dia dicipta bukan untuk di jadikan keluhan
Hanya kerana panasnya, hangatnya sang mentari
Syukuri kepada nikmat-Nya
Syukurilah adanya sang mentari
Tanpa Pencipta dan sang mentari
Tiadalah sinar, tiadalah kehidupan
Tiadalah pancaran yang berkilau, yang seindah Si Matahari.



                   Sajak oleh : Dg Nurfahimah Binti Ag Esa
                              (Missnurfahimah al-Yassa)


Bahasa Jiwa Bangsa

  ‘Bahasa Melayu Perlu Diperkasa’

     Pada 26 oktober 2013, telah berlangsungnya Majlis Bulan Bahasa Kebangsaan 2013, Peringkat Negeri Sabah, di Autrium Tengah, 1 Borneo, Sabah. Pada malam tersebut, pelajar Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah, terlibat melangsungkan majlis dengan mengikuti pelbagai persembahan dan aktiviti yang menarik.

     Antaranya ialah persembahan sketsa, teka-teki, syair,sajak,pantun,gurindam dan nyanyian. Persembahan yang dipsersembahkan pada malam itu sangat bersemangat dan menyerlah. Semangat cinta akan bahasa mampu menghidupkan lagi persembahan mereka dan Majlis Bulan bahasa kebangsaan 2013. Contohnya, persembahan sajak, berpantun dan teka-teki sangat menyeronokkan, persembahan seperti ini perlu diperkasa lagi melalui program seperti ini agar tidak di telan zaman bak kata pepatah ‘tak lekang dek hujan, tak lapok dek panas.

     Persembahan pelajar sekolah pengajian seni, universiti Malaysia sabah sangat mengagumkan pada malam tersebut. Persembahan mereka mampu menyampaikan mesej tentang betapa pentingnya Bahasa, keindahan bahasa itu sendiri mampu menyemarakkan lagi persembahan mereka, apatah lagi dengan penekanan slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Tanpa bahasa negara malaysia tidak mampu memperkasa ummah. ‘Hilang Bahasa, Hilanglah Identiti Kita’.


     Oleh itu, aktiviti mahupun persembahan seperti ini perlu di semarakkan lagi agar semangat cinta akan bahasa dan negara sendiri akan terus kekal dan tidak di telan zaman, generasi akan datang juga mengenali apa itu bahasa dan mempertahankan bahawa “Bahasa kita, Identiti kita”.

                                                                                                              
                                                                             By: Dg Nurfahimah Binti Ag Esa
                                                                                   (missnurfahimah al-Yassa)