Sunday, 24 November 2013

Etika Pemakaian Pelajar Universiti.



Etika pemakaian bagi seorang pelajar di Universiti sejak dahulu lagi telah menjadi isu yang hangat diperkatakan. Hal ini demikian kerana, pemakaian pelajar IPT  samaada IPTA atau IPTS dikatakan tidak menepati kehendak tatacara atau etika pemakaian sebagai seorang pelajar. Jika dahulu semasa zaman persekolahan, pelajar hendaklah memakai “uniform” yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak sekolah, namun di Universiti, pelajar bebas mengenakan pakaian yang mereka hendaki asalkan tidak melanggar etika pemakaian di universiti.
     Kebebasan yang diberi telah disalahgunakan oleh segelintir pelajar. Di mana, kebanyakan pemakaian seseorang pelajar tidak mencerminkan mereka sebagai seorang pelajar Universiti dengan pemakaian tidak formal seperti berselipar jepun, berbaju tanpa kolar ketika di kelas dan di kawasan Universiti perbuatan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan nama Universiti pada pandangan orang luar.Oleh itu, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani isu ini.
     Di Universiti Malaysia Sabah, pelajar yang melanggar etika pemakaian dikenakan saman dan diambil tindakan yang sewajarnya. Selain itu semasa di perpustakaan terdapat pegawai yang menjaga pintu masuk untuk memastikan pelajar mengikut etika pakaian dan memakai kad pelajar sekiranya pelajar tidak mematuhi peraturan mereka tidak akan dibenarkan masuk ke perpustakaan.
Etika Pakaian UMS
Pelajar tidak dibenarkan memakai seluar jeans untuk ke kuliah, perpustakaan dan semasa berurusan di pejabat. Amalan berpakaian kemas,sopan di semua aktiviti rasmi dalam kampus dengan berpakaian seperti baju kemeja biasa, baju T berkolar, berseluar panjang, memakai skirt panjang di bawah lutut.
Isnin – pakaian Formal
Selasa – pakaian Semi formal @ casual
Rabu – pakaian Formal @ Korporat
Khamis – pakaian Formal @ Baju batik
Jumaat – pakaian Semi formal @ pakaian baju kebangsaan lengkap





Oleh : Syazwani Binti Mohammad

Asas Kebudayaan Dan Keusahawanan (APK)


       Ekspo APK (asas pembudayaan keusahawanan) kembali lagi. Pada semester ini Ekspo APK menggunakan tema `Make It Happen`. Ekspo yang diadakan buat kali yang ke-9 ini  berlangsung dari 18 November 2013 sehingga 22 November 2013, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di perkarangan tempat letak kereta perpustakaan UMS.
     Ekspo APK ini melibatkan pelajar dari pelbagai jurusan seperti pelajar bidang Sains dan bidang Sastera. Kebiasaannya kita dapat lihat dalam bidang keusahawanan ini hanya melibatkan pelajar jurusan Perniagaan sahaja. Namun kini di Universiti Malaysia Sabah bidang keusahawanan ini melibatkan semua bidang tidak kira samaada jurusan Sains atau  Sastera. Ini kerana Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyedari kepentingan bidang tersebut kepada pelajar  bagi menghadapi masa hadapan selepas tamat pengajian
     Selain itu, aktiviti keusahawanan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan bina upaya terhadap masa depan negara. Justeru, golongan belia amat digalakkan untuk menceburi bidang berkenaan pada peringkat awal bagi menimba pengalaman dan ilmu yang secukupnya. Menerusi bidang keusahawanan ini pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri bagi berhadapan dengan masyarakat kelak dan mendapat pengalaman serta pengetahuan baru dalam bidang keusahawanan.
     Di Universiti Malaysia Sabah pelajar peringkat prasiswazah di wajibkan mengambil kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) bertujuan menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan siswa-siswi universiti dan bagi memenuhi keperluan syarat ijazah.
     Oleh itu, Kursus tersebut telah menganjurkan Ekspo APK yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menjalankan perniagaan dengan menjual hasil keluaran mereka sendiri sebagai implementasi terhadap segala teori dalam asas keusahawanan yang dipelajari. Pada Ekspo APK baru-baru ini terdapat banyak gerai menjual pelbagai barangan antara yang diniagakan termasuklah barangan kreatif, makanan dan minuman, pakaian, permainan dan sebagainya.







Oleh : Syazwani Binti Mohammad

Friday, 22 November 2013

KANOU BALAJAR MIMBOROS KADAZANDUSUN


In Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kadazandusun is used as foreign language course. For those who got Band 3 and above in MUET able to take this course but Dusun students not allowed to take this course.
Here is some vocabs of KD language which I got from my lecturer , Madam Veronica. So, have fun while learning KD language ! Pounsikou..

Terkahwin orang  tua = kasawo do molohing
Melangkah = lumaang
Memotong /gunting rambut = momompod do tobuk
Memotong/gunting kuku= momompod do sondulu
Sapu lantai = mongimuhau
Tiarap = lumoub
Menyebut nama = mamarait
Basuh kaki = mongisu’/ mongoug do gakod
Bisul = kupos
Hantu = tombiruo
Hantu perempuan suka bersiul  = siot dalan
Hantu lelaki besar (syaitan) = rogon
Hantu panjang  tetek = naru susu
Hantu tinggi lampai = tompulalangoi
Memanggil = momolohou
Mengandung = monontiyan
Memecahkan = mamabak
Terpecah = AV- nakababak, terpecah UV- nababak
Terutama = lolobi po
Duduk= AV-mirikau
Menghalau hantu = mongugad do tombiruo
Memanjangkan = papanaru
Tuan rumah = sanganu do walai/lamin/momuwalai-walai
Mayat = tinan di (tulun) di napatai (i napatai)
Tuhan = Kinorohingan/Minamangun
Cuci rambut = momupuk
Barang2 = kakamot
Mati = patai
At night = do totuong/dongotuong
Gelojoh = gayo nakan
Pukul (sebarang jenis) = amal
Menggunakan gunting = momoguno do gunting
Keguguran anak = oiduan do tanak
Anak dara/gadis=  Sumandak
Perempuan mengandung = tondu do monontiyan
Sikat rambut = monudai
Makan = makan = eating (without specifying the object = transitive), mangakan (specify the object=intransitive)
Nasi = Takano
Padi = parai
Beras = wagas
Tepuk tangan = manapap do longon
Sembahyang (to pray) = sumambayang
Tidak boleh sembahyang = au obuli do sumambayang
Menegakkan/meluruskan kedudukan sudu/garpu = popotulid do kakamot do makan (sikang)
Tindik telinga = momoluang do tolingo
Hormat = mamantang
Basuh kain = momupu’
Tidur menghadap tingkap/pintu  = modop do pointoguang do titigaon/wawayaan
Membebel = mimbobok
Bersiul = minsisit
Mengarut = sangkabarasan
Mirror = soromin
Peluang = kosiwatan
Sebelum = Pogulu po
Jijik (AV)= sosomuan
Benda yang menjijikkan (UV) = kososomu
Menjijikkan (menyebabkan org jijik) (AV) = monosomu
Dipercayaai = otumbayaan
Datang haid = gambahon (root = gambau)
Meninggal = apatai
Selepas meninggal = napatai
Kenduri = sumambayang
Pesta/makan2 = karamaian
Nasip malang = ousung
Sial = toburus
Bodoh = basug
Keranda = lungun
Pada = ontok
Pada hari gawai = ontok tadau gawai
Bangkrap = obingkarap
Akan jadi miskin = osiliu do mosikin
Akan jadi kaya = osiliu do kiharo-haro/ogumu tusin (jutawan)
Niat = tosorou
Berniat mencuri = kosorou do manakau
Main sembunyi2 = milisok-lisok
Roh orang mati = rusod
Bantal = tulunan
Senja = minsosodop
Minyak wangi=pomowongi-wongi
Bangun/Bangkit = tumungag
Selepas waktu subuh = minsusuab
Memetik = mogkotu’
Sebelum masuk rumah = pogulu po do sumuang/sumalakoi id walai
Mengikut kepercayaan = tumanud do kotumbayaan
Siram pokok = mamawaig (moniram) do tanom-tanom
Lintas/lalu = tumalib
Anak yang baru lahir = tanak do kosususu
Rezeki tidak masuk= au sumuang o kahara-haraan
Pokok berbuah sulung = mongua’ do koinsan nogi
Diikut hantu = tonudon do tombiruo
Ditindih hantu = onsitan do tombiruo



BY : AIYUB MS


Thursday, 21 November 2013

Larian Konvo UMS 2013



Larian Konvo Sempena Majlis Konvokesyen UMS 2013.

Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 21 November hingga 25 November 2013, UMS dan Majlis Kepimpinan Pelajar (MPP) telah menganjurkan Larian Konvo UMS dengan kerjasama Pelajar Pengurusan Sains Sukan Tahun 2 dan Tahun 3 pada 17 November 2013 sempena pengisian Tamu Gadang 2013 yang bermula 21 November ini.
     Acara ini bermula dari Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan berakhir di Pusat Kegiatan Luar (ODEC) UMS. Jarak larian konvo UMS ini sejauh 7 kilometer dan terdapat seramai 240 peserta mengambil bahagian. Acara larian ini dibahagikan kepada empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, kategori Sekolah Terbuka Lelaki dan Sekolah Terbuka Wanita. Johan bagi kedua-dua kategori akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM150, medal dan hamper. Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing menerima RM100 dan RM50 berserta medal dan hamper. 
     Semasa acara ini berlangsung peserta larian telah dilepaskan mengikut kategori yang dipertandingkan. Pada akhir acara Larian Konvo UMS penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin. Dimana, Pemenang Pertandingan Larian Konvo bagi kategori Terbuka Lelaki telah dimenangi oleh Ruston Masri dengan mengetepikan pesaing terdekatnya, Frederic Herman di tempat kedua. Dan tempat ketiga dimiliki oleh Louis Muslin. Manakala, Kategori Terbuka Wanita pula telah dimenangi oleh Emily Singan  untuk dinobatkan sebagai juara sekali gus mengenepikan pesaingnya Chong Vun Lung yang memenangi tempat kedua pertandingan dan  Dora Suan menyandang tempat ketiga bagi kategori terbuka wanita.
      Selain itu, bagi kategori Sekolah Terbuka Lelaki pula dimenangi oleh Jusli Jaiban dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS) sekaligus muncul juara, disusuli Kenson Rubanjan dari Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial (SPKS) di tempat kedua. Manakala tempat ketiga juga dimiliki pelajar SPKS, Samzah Lawis. Bagi kategori Sekolah Terbuka Wanita pula menyaksikan pelajar SPKS sekali lagi mendominasi acara tersebut apabila pelajarnya, Hau Sui Chee dinobatkan sebagai juara bagi kategori berkenaan. Naib johan disandang pelajar Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa (SPTA), Au Hwi Ji dan tempat ketiga dimenangi oleh Wan Huzida Roza Husin dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE).
      Atas kejuaraan yang diperoleh dalam kategori Sekolah Terbuka Lelaki sekali gus memboleh SPPS turut membawa pulang Piala Pusingan Larian Konvo 2013 dan selepas Majlis Penyampaian hadiah, Pengetua Kolej Kediaman CD, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur telah Merasmikan Majlis perasmian Larian Konvo UMS  bagi tahun ini.

Oleh : Syazwani Binti Mohammad

Sunday, 17 November 2013

RASISME : Pelajar universiti adalah antara penyumbangnya ...

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kumpulan etnik yang pelbagai. Hal ini membuatkan Malaysia merupakan salah satu negara yang unik kerana masyarakatnya hidup di dalam keadaan yang berbeza kaum serta agama. Namun di sebalik kelebihan itu, terdapat “penyakit” kronik yang telah lama bersarang di dalam kalangan kaum di negara ini iaitu rasisme.

      Memang tidak dapat dinafikan bahawa rasisme itu telah lama wujud dan ia bukanlah isu yang baharu. Namun perkara ini amat mengecewakan apabila terdapat pelajar universiti yang rasis terhadap kaum lain. Seharusnya, sebagai pelajar universiti, rasisme itu hendaklah dikikis kerana ia sangat tidak baik untuk keharmonian negara malah ia dapat memecahbelahkan suatu kaum itu sesama sendiri.

     Rasisme ini amat ketara apabila berada di dalam dewan kuliah yakni pelajar duduk bersama pelajar yang sesuku dengan mereka sahaja. Sebagai contohnya, kaum Cina dengan kaum Cina dan kaum Melayu dengan Melayu. Selain itu, rasisme ini juga kita boleh nampak dalam tugasan berkumpulan di mana pelajar hanya ingin berkumpulan dengan pelajar yang sama kaum dengan mereka. Terdapat juga pelajar yang menghina serta memandang rendah sebuah kaum itu. Hal ini amat meruncing dan seharusnya tidak dibiarkan kerana masalah ini akan membuat matlamat Satu Malaysia tidak dapat tercapai.

     Apa yang paling mengecewakan ialah apabila rasisme ini ditunjukkan melalui perlakuan vandalisme seperti contengan di suatu tempat yang berbau rasis. Hal ini banyak berlaku di dalam universiti dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut terkena tempiasnya. Terdapat contengan yang berintikan rasis di kawasan tertentu seperti di dalam bilik air. Pelajar menulis sesuatu pernyataan yang tidak baik terhadap sebuah kaum itu dan ianya sangat rasis. Hal ini sangat tidak baik kerana ia dapat menimbulkan permusuhan di antara kaum yang terlibat. Pelajar seharusnya berfkir seperti seorang pelajar universiti yang sebenar iaitu positif dan tidak rasis terhadap suatu kaum.


     Sesungguhnya, rasisme ini haruslah dibuang dari diri seseorang itu kerana ia sememangnya tidak memberi manfaat kepada kita, malah ia akan mendatangkan masalah kepada diri, masyarakat dan negara. Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa, rasisme itu hendaklah di buang jauh-jauh supaya kita boleh menjadi mahasiswa yang cemerlang tanpa rasis terhadap sesebuah kaum.



DITULIS OLEH : AIYUB MS

Pelajar universiti wajar diberi pendedahan dengan aktiviti kemasyarakatan

Pada 16 November 2013 bersamaan hari sabtu, sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan aktiviti kemasyarakatan “Seeing Inside Kampung Pukak Kiulu” bertempat di Kampung Pukak Kiulu, Tamparuli. Aktiviti ini sebenarnya diadakan oleh pelajar UMS yang mengambil unit beruniform Kepimpinan dan Motivasi (BAKTISISWA). Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh mereka sendiri dan penyelarasnya merupakan pensyarah kursus itu sendiri iaitu Cik Jacqueline Atat.
     Program yang telah diarah oleh Cik Tan Saw Yen ini mempunyai banyak pengisian atau pun aktiviti yang cukup unik dan menarik. Antaranya ialah, “Knock and Smile”. Aktiviti ini merupakan aktiviti yang sangat mulia dan bertujuan untuk berjasa kepada masyarakat di Kampung Pukak Kiulu. Untuk aktiviti ini, 8 buah rumah telah dipilih dan yang pastinya penghuni rumah itu adalah golongan yang agak susah serta memerlukan bantuan. Sumbangan yang telah diberikan adalah berupa barangan perbelanjaan rumah seperti beras, gula dan banyak lagi. Menurut Encik Maidin,48 tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), dia sangat berterima kasih kepada pihak BAKTISISWA kerana telah memberi  sumbangan sebegitu rupa dan ia sedikit dapat  meringankan beban perbelanjaan rumah mereka. Selain itu, dalam aktiviti ini juga peserta program ini dikehendaki untuk mengupas kisah hidup orang-orang yang telah dilawat.  Ternyata terdapat di antara mereka yang mempunyai kisah hidup yang menyayat hati. Hal itu cukup menyentuh hati para peserta program itu.

     Di samping itu, program ini juga turut tidak melupakan golongan kanak-kanak dengan mengadakan sukaneka yang meyeronokkan. Antara sukaneka itu adalah “Passing The Ballon” dan “Spongebob Wetpants”. Aktiviti-aktiviti ini cukup menggembirakan kanak-kanak di sana dan jelas terukir senyuman di bibir mereka. Bukan sahaja itu, pertandingan mewarna dan “Fashion Show” juga telah diadakan. Apa yang menarik tentang pertandingan “Fashion Show” itu adalah setiap peserta mesti menghasilkan baju yang diperbuat dari bahan kitar semula iaitu surat khabar lama. Ternyata acara itu sangat meriah serta menunjukkan kreativiti penduduk Kampung Kiulu. Adat bertunang ada cincinnya, adat bertanding ada hadiahnya, pemenang bagi setiap pertandingan itu telah diberikan hadiah.

FOKUS... Para peserta fokus mewarna bagi mendapat hasil yang terbaik
     Dalam pada itu, JKK Kampung Pukak Kiulu, En. Dhuin Sinour berbesar hati menyambut kedatangan pelajar UMS dan dia amat berbangga kerana memilih kampung itu sebagai lokasi pilihan untuk berbakti terhadap masyarakat di sana. Dia juga turut mengalu-alukan pelajar UMS untuk memilih kampung itu lagi sebagai destinasi pilihan. Menurut salah satu peserta program itu iaitu Mohd Aiyub, dia cukup gembira kerana dapat berbakti terhadap masyarakat kampung itu di samping berkongsi kegembiraan bersama penduduk di sana menerusi aktiviti yang telah dipraktikkan. Tambah beliau, pelajar universiti seperti dia sendiri wajar di beri pendedahan tentang kemasyarakatan serta kepimpinan agar dapat membentuk pelajar yang bukan sekadar kelas pertama dalam akademik malah kelas pertama dalam kepimpinan dan kemasyarakatan.
COMEL... Pertandingan "Fashion Show" yang bertemakan kitar semula

     Oleh yang demikian, program "Seeing Inside Kampung Pukak Kiulu" ini sangat memberi makna kepada penduduk di sana dan juga semua peserta program itu. Justeru, aktiviti sebegini seharusnya diperbanyakkan lagi agar dapat melahirkan mahasiswa yang holistik yakni mahir dalam pelbagai bidang atau aspek seperti kepimpinan dan kemasyarakatan.

SERONOK... Para peserta program sempat lagi mengamati keindahan alam di Kampung Pukak Kiulu



DITULIS OLEH : AIYUB MS



UMS SEJATI 2013 "SEERAT KASIH"

“Seerat Kasih”

   Pada 16 november 2013, bersamaan pada hari sabtu, saya dan rakan-rakan UMS SEJATI PARAMEDIK 1, telah  menjalankan program UMS SPRINT 2013, di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Likas, Sabah. Program ini diberi nama “Seerat Kasih”.

    Kami telah menjalankan program ini di Wad Melur 2, iaitu di bahagian Wad kanak-kanak. Sebaik sahaja sampai di sana, saya melihat kehidupan yang di alami kanak-kanak di wad tersebut, betapa bersyukurnya saya dapat mengenali kanak-kanak seperti mereka yang mampu berjuang bertahan hidup dengan penyakit yang mereka hidapi.

   Kami juga telah menjalankan aktiviti mewarna dan bermain puzzle, sambil melayani mereka mewarna dan memberi tunjuk ajar kepada mereka, sambil itu juga kami mengenali mereka lebih dekat, beramah mesra, bertanya nama dan sebagainya. Apa yang saya kagumi ketika itu, kanak-kanak ini tetap gigih dan cekal untuk belajar dan bermain, walaupun dengan keadaan kesihatan yang membimbangkan. Setelah selesai aktiviti mewarna dan bermain puzzle, pihak kami pun memberi hadiah kepada mereka.

    Sebagai seorang pelajar, saya amat bersyukur dan gembira mengikuti aktiviti “seerat Kasih”, kerana aktiviti ini telah memberikan saya satu gambaran yang positif, di mana mengajar saya lebih banyak berfikir dan bersyukur kerana dapat mengenali mereka dan menjadikan saya seorang yang berdaya saing, bertanggungjawab serta menjadi pelajar yang lebih prihatin terhadap masyarakat serta dapat mengeratkan lagi hubungan silturahim di kalangan mereka. Tambahan pula, Kita hidup di dunia ini, bukan hanya untuk menyayangi keluarga, apatah lagi kekasih hati kerana kanak-kanak seperti mereka juga memerlukan kasih sayang , sokongan, cinta dan bantuan daripada masyarakat seperti kita.


   Oleh itu, kita sebagai masyarakat mahupun pelajar perlulah prihatin terhadap masyarakat sekeliling kita, dengan menjalankan dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berguna seperti “seerat kasih” ini, malahan masa lapang kita tidak terbuang begitu saja. Dengan mengikuti aktiviti seperti ini, kita dapat mengurangkan beban mereka dan berkongsi kegembiraan bersama mereka serta kita dapat memperoleh banyak manfaat yang berguna.

                                                               
                                            Disediakan oleh : Dg Nurfahimah Binti Ag Esa